JDT II benam Negeri Sembilan di Paroi







SEREMBAN: Negeri Sembilan memulakan saingan Liga Perdana musim baharu dengan langkah kiri apabila tewas kepada Johor Darul Ta’zim II (JDT II) 3-1 dalam perlawanan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, sebentar tadi.
Ketika pemain mula mengatur gerak sebaik perlawanan dimulakan, gawang skuad Hobin Jang Hobin bocor menerusi jaringan pantas Arif Aiman Hanapi pada minit kedua.
Pemain muda berusia 18 tahun itu berjaya memperdayakan pertahanan tuan rumah dengan kawalan bola baik untuk menewaskan penjaga gol berpengalaman, Mohd Kaharuddin Abd Rahman.
Tersentak jaringan itu, anak buah Sazali Saidun cuba bangkit mencari gol penyamaan, namun gandingan Igor Luiz dengan Muhd Nazrul Kamaruzaman ternyata gagal menafikan kekuatan benteng JDT II diterajui Che Rashid Che Halim, Firdaus Ramli, Syazwan Andik Ishak dan Muhammad Adib Zainuddin.
Sebaliknya, gawang Negeri Sembilan bocor lagi buat kali kedua menerusi jaringan Fernando Rodriguez pada minit ke-23 yang tercipta hasil gerakan pantas dan lorongan bola dari bahagian tengah oleh Nicolas Alberto Fernandez.
Skuad pelawat dilihat lebih menguasai permainan dengan gerakan pantas dan kawalan bola baik berbanding tuan rumah yang kerap kehilangan bola.
Usaha skuad Rusa untuk merapatkan jurang pada separuh masa pertama jelas tidak kesampaian biarpun mereka dilihat bekerja keras memburu gol.
Malah, JDT II tidak juga menunggu lama untuk melebarkan lagi jurang apabila lima minit bermulanya separuh masa kedua, Rodriguez mempamerkan kehebatannya menerusi gol ketiga pelawat.
Igor Luiz berjaya meredakan sedikit tekanan 2,758 penyokong Negeri Sembilan menerusi gol pertama tuan rumah pada minit k-58.
Pada baki 10 minit terakhir perlawanan, JDT II terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Nicolas Alberto yang juga kapten pasukan, dilayangkan kad merah oleh pengadil Nagor Amir Noor Mohamed selepas dia menyiku Nazrul Kamaruzaman.
Usaha Negeri Sembilan untuk menafikan kemenangan JDT II tidak kesampaian apabila kedudukan 3-1 itu kekal sehingga tamat permainan.

Ulasan