KUALA LUMPUR: Juara Liga Super enam kali, Johor Darul Ta’zim (JDT) terus menempa sejarah dalam arena bola sepak tanah air apabila dipilih selaku Kelab Terbaik Piala AFC Sepanjang Dekad.
Skuad Harimau Selatan mendominasi sebahagian besar undian dalam talian menerusi laman rasmi Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) apabila menerima 80 peratus undian daripada jumlah keseluruhan 81,062 undian.
JDT mengetepikan empat pencabar lain iaitu Air Force Club (12 peratus), Qadsia SC (6 peratus), Kuwait SC (2 peratus) dan Al-Ahed (1 peratus).
Anugerah ini sudah pasti mampu menjadi tonik terbaik buat JDT dalam misi mendominasi saingan Liga Malaysia (Liga M) 2020 dan saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) buat musim kedua berturut turut.
Sebagai rekod, JDT mencipta sejarah apabila mengungguli Piala AFC 2015 apabila menjadi pasukan pertama daripada Zon Timur menjuarai saingan terbabit.
Pasukan itu melakukan penampilan pertama di pentas Piala AFC pada 2009 sebagai Johor FC namun berdepan kempen kurang memberangsangkan apabila tersingkir di peringkat kumpulan dengan mengutip hanya satu mata.
Namun, segalanya berubah pada edisi 2015 yang menyaksikan mereka muncul juara Kumpulan F sebelum mengetepikan Ayeyawady United (Myanmar) dan South China SC (Hong Kong) di peringkat kalah mati.
Mereka bertemu Qadsia SC di separuh akhir namun Persatuan Bolasepak Kuwait berdepan penggantungan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) sekali gus membolehkan mereka mara ke final bertemu wakil Tajikistan, FC Istiklol di Stadium Pamir, Dushanbe.
Bagaimanapun, jaringan tunggal Leandro Velazquez sudah cukup untuk JDT merangkul gelaran terbabit dan mencipta sejarah dalam saingan Piala AFC.
Ulasan
Catat Ulasan