Fazly Mazlan Mahu Manfaat Masa Bersama Pahang Sebaiknya

Pertahanan kiri Johor Darul Ta’zim (JDT), Fazly Mazlan dipetik berkata kepada laman sosial penyokong, TokGajahdotcom, peluang bermain untuk Pahang akan digunakan dengan sebaiknya bagi mengembalikan semula prestasi yang pernah dikecapinya sebelum ini.
JDT telah meminjamkan Fazly Mazlan dan pemain sayap menyerang, S. Kumaahran ke Pahang pada musim 2020 untuk membantu meringankan beban kewangan mereka.
Tengku Mahkota Johor (TMJ) sebelum ini memaklumkan kepada wakil Semuanya BOLAmengenai kemungkinan untuk meminjamkan lima pemain JDT II kepada Pahang.
Hadir dari kelab seperti JDT, pemain berusia 26 tahun itu tidak menganggap ia satu keselesaan buat dirinya kerana di Pahang, beliau turut perlu bersaing untuk mendapat tempat.
Pernah dianggap produk terbaik di JDT, karier Fazly Mazlan di skuad utama Harimau Selatan itu kian tiada selepas kehadiran pertahanan kacukan Malaysia, Corbin Ong pada musim 2018.
Di saat namanya meningkat naik, Fazly Mazly telah membuat 13 penampilan bersama skuad kebangsaan ketika di bawah kendalian Datuk Ong Kim Swee bermula pada November 2015.



Pada usianya 22 tahun, pertahanan kental ini sudah mula mewakili negara dalam pentas kelayakan Piala Dunia dan juga kelayakan Piala Asia yang dijalankan berasingan ketika itu.
Kali terakhir Fazly Mazlan bermain untuk skuad kebangsaan adalah pada September 2018 ketika tewas 0-2 kepada Chinese Taipei dalam aksi persahabatan di gelanggang lawan.
Selepas kehadiran Corbin Ong, Fazly Mazlan lebih banyak tampil bersama JDT II di Liga Premier dan kini, dipinjamkan kepada Pahang menjaminkannya semula aksi di Liga Super.
Pemain kelahiran Muar ini turut menjelaskan pertahanan kiri Pahang ketika ini, Faisal Rosli adalah pemain yang bagus dan sukar untuknya menandingi keupayaan pemain tersebut.
Namun, dengan sokongan dan penerimaan baik penyokong Tok Gajah setakat ini menjadikannya bersemangat untuk mempamerkan aksi terbaik bagi membantu Pahang.
Pahang akan membuka saingan Liga Super 2020 menentang Selangor di Darul Makmur pada 29 Februari sebelum berkunjung ke Lembah Klang untuk menentang PJ City pada 6 Mac.
KREDIT FOTO: JST

Ulasan