Davies bukan cabut lari

DAVIES ketika sesi latihan bersama skuad JDT. Foto Ihsan FB JOHOR Southern Tigers.
KUANTAN: Peminat Pahang tidak perlu meratapi kehilangan pemain pertahanan, Matthew Davies yang bertindak memilih jalan keluar selang dua minggu sepak mula Liga Super bermula.
Bekas pemain kebangsaan Datuk Jamal Nasir Ismail berkata, sebagai pemain profesional Davies berhak sepenuhnya membuat pilihan pasukan mana yang ingin diwakili setiap kali tiba musim baru.
Menurutnya, semua pihak perlu menerima secara terbuka keputusan bekas kapten skuad Tok Gajah itu yang memilih pasukan Johor Darul Tak'zim (JDT) untuk diwakili selepas meninggalkan Pahang.
Katanya, Davies meninggalkan skuad Tok Gajah mengikut saluran dan peraturan sedia ada sekali gus tiada istilah cabut lari walaupun beberapa hari lagi saingan Liga Super bermula.
"Davies seorang pemain profesional dan dia berhak membuat keputusan demi masa depannya dalam kerjaya bola sepak, tidak ada istilah tidak setia dan inginkan pendapatan lebih.
"Saya lihat Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) juga profesional dalam kes perpindahan pemain berkenaan, semua berjalan lancar berlandaskan peraturan," katanya semalam.
Jamal berkata, peminat pasukan Pahang tidak perlu melatah membuat pelbagai tuduhan sumbang yang boleh menjejaskan imej pemain kebangsaan itu.
Jamal menambah, PPNP sudah mengambil kira keputusan melepaskan pemain berkenaan dan percaturan pucuk pimpinan perlu dihormati semua pihak walaupun kurang disenangi sesetengah pihak.
Dia yang pernah membimbing pasukan Tok Gajah sebelum ini berkata, ketiadaan Davies membuka peluang kepada pemain muda untuk membuktikan kebolehan yang sebelum ini terpendam.
"Saya yakin kepakaran dan pengalaman luas yang ada pada jurulatih Dollah Salleh dan pembantunya Ahmad Yusof dapat membentuk kelibat pemain muda berkualiti bagi mengisi posisi pertahanan kanan yang ditinggalkan Davies.
"Saya berharap peminat setia Tok Gajah bersabar dan memberi peluang kepada pemain muda untuk membuktikan kebolehan, dalam masa sebulan hingga dua bulan pasukan Pahang pasti memiliki pengganti Davies," katanya.

Ulasan