Bukan mustahil pukau JDT

Harris (dua dari kanan) dan Baddrol bersama Mora (kanan) serta Aidil Sharin pada sidang media Piala Sultan Ahmad Shah di Johor Bahru, semalam. - NSTP/Mohd Azren Jamaludin




KUALA LUMPUR: Di atas kertas, Johor Darul Ta’zim (JDT) tampak memiliki segala-galanya dan mereka tidak seharusnya berdepan masalah merangkul Piala Sultan Ahmad Shah, malam ini.
Bagaimanapun, bekas penyerang Kedah, Akmal Rizal Ahmad Rakhli mengharapkan ia sama sekali tidak melemahkan semangat Kedah yang berkunjung ke Stadium Sultan Ibrahim bagi aksi pembuka tirai yang bukan sahaja menawarkan trofi malah tiga mata untuk dikutip.
Jelasnya, sekiranya pemain dapat mengikut disiplin taktikal seperti yang dirancang Aidil Sharin Sahak, tidak mustahil skuad Lang Merah dapat membawa pulang keputusan positif.
“Saya kira 40/60 untuk Kedah kerana kita tahu ada perbezaan ketara kedua-dua pasukan ini. Sudah tentu JDT jadi pilihan kerana mereka ada pemain yang terbaik dalam liga.
“Kedah juga memiliki senarai pemain yang baik namun apa yang membezakan mungkin daripada sudut persefahaman antara pemain kedua-dua pasukan.
“Pemain JDT sudah lama bersama sementara ada beberapa pemain Kedah yang baru bersama pasukan.
“Apapun, saya rasa jika Kedah dapat mencuri satu mata di tempat lawan kemudiannya memenangi trofi dengan sepakan penalti penentuan seperti pada 2017, itu sudah cukup bagus,” katanya.
Sebagai rekod, pertemuan kali terakhir kedua-kedua pasukan pada final Piala Malaysia tahun lalu yang menyaksikan skuad Harimau Selatan itu menundukkan Kedah 3-0 menerusi jaringan Leandro Velazquez, Safawi Rasid dan Syafiq Ahmad.
JDT menjuarai Piala Sultan Ahmad Shah 2019 selepas menewaskan juara Piala Malaysia, Perak dengan keputusan 1-0 hasil jaringan Gonzalo Cabrera.

Ulasan