ASPIRASI DALAM KONSTRUKSI LEGASI BERKEKALAN

ASPIRASI DALAM KONSTRUKSI LEGASI BERKEKALAN
Konstruksi legasi berkekalan bukan sesuatu tugas yang mudah untuk diimplementasi. Memerlukan kesungguhan luar biasa serta jiwa yang kuat untuk melihat segalanya berjaya direalisasi. Tidak semudah mencipta stensil mencetak bait-bait setiap perkataan. Segala yang diimpikan, galang gantinya adalah sebuah pengorbanan yang perlu dipertaruhkan.
Tanpa pengorbanan, kelab ini tidak akan kukuh seperti situasi terkini. Kerana pengorbanan, Harimau Selatan berjaya melangkah sejauh ini. DYAM Tunku Mahkota Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Pemangku Raja telah mengorbankan masa, wang, emosi, jiwa dan raga walaupun berada tinggi di puncak sistem monarki. Hanya untuk memastikan empayar ini akan sentiasa utuh dan gah, nombor satu dalam kedudukan tangga hierarki.
Tertubuhnya JDT ianya automatik menjadi refleksi kejayaan penyatuan Bangsa Johor. Bila mana kelab ini menjadi agen perpaduan serta jambatan muafakat yang dahulunya terlalu kabur. Lalu, sekelompok mata liar mula menjalar cemburu berakar subur. Tidak pernah berhenti berusaha, setiap batas digembur, racun perosak cuba disembur.
“Proteksi aspirasi menuju kejayaan”
Rasionalnya, DYAM Tunku Mahkota Ismail telah meletakkan tanda aras mencapai kejayaan demi kejayaan. Dalam usaha memastikan kelab kerdil ini mampu membina sebuah empayar yang kebal sempurna bertahan. Kerana hanya tanda aras akan memberi proteksi aspirasi dalam keyakinan menempa kejayaan. Menjadi stimulasi ampuh, memanifestasikan segala yang mustahil akan menjadi kenyataan.
Empat tahun dahulu, empat tahun yang telah berlalu. Satu impian telah dinyatakan baginda kepada beberapa individu ketika perlawanan pra-musim JDT di Thailand sebelum bermula musim dua ribu enam belas. Bahawa satu impian baharu iaitu memonopoli kejuaraan Liga Super Malaysia dalam tempoh yang panjang selepas memenanginya pada tahun dua ribu empat belas. Diwaktu itu juga, baginda telah menyampaikan satu motivasi bahawa impian ini adalah realistik. Biar disasar mencecah altitud orbit, tetapi yakinlah pasti tepat bagai bedilan misil balistik.
“Tunggang hilang berani mati”
DYAM Tunku Mahkota Ismail juga pernah bertitah bahawa kejayaan bukan sekadar meraih piala menjadi projeksi. Tetapi juga berkenaan mempertahankan kejuaraan secara bergaya serta konsistensi.
Imbas kembali, konsistensi JDT diuji pada tahun dua ribu sembilan belas berikutan susunan jadual yang ketat dan padat. Apabila terpaksa mengharungi perlawanan Liga Juara-Juara AFC (ACL) ketika persaingan Liga Super Malaysia dua ribu sembilan belas JDT terikat. Kontradiksinya semua cabaran dapat ditempuhi dengan cemerlang dan jayanya. Bilamana JDT berjaya memberi tentangan sengit biarpun itu adalah penampilan buat kali pertama. Akhirnya apabila berakhir musim, JDT tetap unggul menyusuri jalan kegemilangan setelah merangkul kejuaraan kali keenam berturut-turut. Paling membanggakan, kejayaan ini telah tercatat dan diabadikan dalam anugerah ‘Malaysia Book Of Records’.
Akhir kalam, deklarasi yang tidak boleh disangkal. Gerak kerja telah dikoordinasi integral. Sesungguhnya kejayaan ini bukanlah satu kebetulan. Tetapi mengikut fasa-fasa seperti direncanakan. Kini enam tahun kekal mahkota dalam dakapan. Di singgahsana bersemayam, dirgahayulah legasi Harimau Selatan!
“Kesabaran adalah Kunci kepada segala perkara. Tiada sesiapa yang mengatakan ianya akan menjadi mudah. Tetapi ingatlah, terdapat Kehebatan dalam diri kita semua. Anda adalah hasil dari apa yang anda putuskan. Cabar diri anda tetapi kekal bersyukur. Sayangi kehidupan anda, dan ia akan memberikan pulangan yang baik. Selamat menikmati hari yang indah buat anda semua”- DYAM Tunku Mahkota Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Pemangku Raja
Merah itu darahmu, biru itu nyawamu.
Dayung sudah ditangan, perahu sudah di air,
Elok kata dalam muafakat, buruk kata luar muafakat.
Sumber artikel: Media JST
Imej

Ulasan