SETIAUSAHA Agung AFC, Datuk Windsor John. - Foto Owee Ah Chun
KUALA LUMPUR: Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) terpaksa menunda aksi Liga Juara-Juara (ACL) membabitkan kelab China susulan penularan coronavirus.
Keputusan itu dibuat AFC selepas mesyuarat khas di pejabat AFC, di sini, hari ini dengan mengambil kira faktor keselamatan pasukan bertanding.
Badan induk itu akan terus menilai secara mendalam mengenai kesan wabak itu, tetapi mencadangkan perlawanan membabitkan kelab dari China ditangguh kepada April dan Mei depan.
Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor John menjelaskan langkah diambil daripada perbincangan bersama itu bagi memastikan semua keselamatan pemain, pegawai pasukan dan penonton terjamin.
“Kami menerima bahawa coronavirus adalah isu lebih besar daripada bola sepak dan berharap kesihatan semua pihak terbabit kembali pulih sepenuhnya,” katanya.
Penundaan itu turut membabitkan aksi wakil tunggal negara dalam saingan tertinggi Asia itu, Johor Darul Ta’zim (JDT) berdepan kelab China, Guangzhou Evergrande FC yang sepatutnya berlangsung di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, 19 Februari ini.
Justeru, AFC mencadangkan tarikh baharu bagi aksi dua pasukan dalam Kumpulan G itu akan berlangsung pada 20 Mei depan.
Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Boalsepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam ketika dihubungi menjelaskan pihaknya menyokong penuh langkah yang diambil AFC.
Ulasan
Catat Ulasan