Walaupun JDT membuat tawaran rasmi bagi mendapatkan Danial Amier yang bernilai RM1 juta, perpindahan tersebut akhirnya tidak menjadi kenyataan.

JDT tidak jadi bawa masuk Danial Amier



Musim lepas, Johor Darul Takzim FC (JDT) dilaporkan berminat untuk menandatangani Danial Amier bagi saingan musim 2020. Namun, penghijrahan itu akhirnya tidak kesampaian.
JDT menghantar tawaran rasmi kepada Felda yang meletakkan harga RM1 juta kepada pemain berusia 22 tahun itu tetapi kedua-dua pihak gagal mencapai kata sepakat sekali gus Danial kekal di Jengka pada musim ini.
“Bagi saya, jika ada rezeki, tidak ke mana,” kata Danial kepada Stadium Astro.
“Sekarang saya bersama Felda, jadi perlu fokus di sini. Kami akan beri yang terbaik dalam baki semusim bersama Felda. Jika ada rezeki di Johor, ia takkan ke mana.
“Terasa ralat memang ada. Semua pemain di Malaysia mahu beraksi bersama JDT tetapi rezeki ada di mana-mana. Mungkin Allah sudah tulis rezeki saya bersama Felda musim ini.”
Danial menyertai Felda pada 2017 selepas tiga tahun di Frenz United dan peningkatan prestasinya mendapat perhatian ramai pihak apabila terpilih beraksi dalam kelayakan AFC B-19, Kejohanan AFC B-23, Sukan SEA 2017 serta membuat penampilan pertama untuk skuad kebangsaan pada tahun lepas.
Felda berdepan cabaran sengit apabila kehilangan ramai tonggak utama dan perlu berharap pemain import baharu menampilkan aksi cemerlang musim depan.
Selepas hampir tersingkir musim lalu, jurulatih Nidzam Jamil perlu memastikan Felda terus kekal di Liga Super.

Ulasan