Terengganu adakan jelajah pra-musim di Thailand
Terengganu FC bakal mengadakan jelajah pra-musim di Thailand pada awal bulan depan bagi menghadapi saingan Liga Super 2020.
Jurulatih pasukan, Nafuzi Zain bagaimanapun merancang untuk mengadakan sekurang-kurangnya tujuh perlawanan persahabatan sebelum liga bermula pada 28 Februari.
“Persiapan rapi sedang dilakukan untuk mencari perlawanan berkualiti bagi memperkemaskan aspek kecergasan dan persefahaman pasukan,” kata Nafuzi kepada Arena Metro.
“Berdasarkan sesi latihan, pemain-pemain semakin menunjukkan peningkatan berbanding hari pertama dan setakat ini saya begitu berpuas hati dengan komitmen mereka.”
Terengganu sudah mengadakan perlawanan menentang Terengganu II, Kelantan dan Universiti Malaysia Terengganu.
Skuad Pantai Timur itu akan bertemu juara Liga M3, Kelantan United di Kuala Terengganu pada Jumaat depan sebelum menentang kelab Singapura, Hougang United, juara Liga Kemboja, Svay Rieng FC dan pasukan Liga Perdana, Kuala Lumpur.
Terengganu kini dibarisi barisan serangan baharu iaitu Dominique Da Sylva dari Mauritania, Barbacar Diallo dari Senegal dan pemain sayap Singapura, Faris Ramli.
Bekas kapten Perak, Nasir Basharuddin menguatkan bahagian tengah dibantu dengan Faiz Nasir yang kembali dari Selangor selain Arif Fadzillah Abu Bakar dan bekas pemain Pahang dan JDTII, D. Saarvindran.
Ketika ini, Terengganu dalam proses untuk membawa pemain naturalisasi Stuart Wark yang membantu PDRM layak ke Liga Super musim lalu.
Ulasan
Catat Ulasan