Selepas tiga tahun meninggalkan JDT, Asraruddin Putra mahu memulihkan kecergasannya dan menghidupkan kembali kariernya di Liga M3.

Tiga tahun Asraruddin Putra tanpa pasukan

Walaupun Asraruddin Putra Omar dilihat berada dalam sesi latihan di Selangor, beliau tidak akan menyertai kembali pasukan lamanya.
Perkara itu disahkan sendiri oleh jurulatih B Sathiananthan.
“Ia bukan ujian pemilihan. Asra datang kepada saya untuk menjaga kecergasannya,” katanya kepada Stadium Astro.
“Dia mahu bermain dalam kancah Liga M3 dan saya sudah kenal dia ketika membimbing pasukan kebangsaan, apatah lagi dia merupakan ketua pasukan Selangor.
“Macam David Beckham, dia pernah berlatih bersama Arsenal untuk memastikan kecergasannya.”
Bagaimanapun, Sathia gembira dapat membantu Asra memulihkan kecergasannya.
“Kami belum lagi terlintas untuk mendaftarkannya tetapi dia rela untuk datang bagi mengurangkan berat badannya.
“Dalam masa empat minggu sahaja, dia telah berjaya mengurangkan 4kg.
“Dia merupakan bekas pemain, ketua pasukan Selangor dan pemain kebangsaan, inilah bantuan yang kami boleh tawarkan kepadanya.”
Asraruddin yang menyertai JDT pada 2014 selepas 8 tahun di Selangor, sering bergelut dengan kecederaan sepanjang tiga musim beliau di Larkin.
Pemain berusia 31 tahun itu akhirnya dilepaskan oleh JDT dan hampir menyertai Pulau Pinang namun tidak menjadi kenyataan.
Sejak daripada itu, Asra tidak menyertai mana-mana kelab dan beliau dilaporkan mengusahakan kedai gunting rambut di Shah Alam.

Ulasan