Selepas keputusan AIAC mengenai kes Akhyar Rashid tersebar, JDT tampil menjelaskan perkara sebenar.

Alistair Edwards: JDT tidak terlibat dengan kes Akhyar Rashid


Selepas Setiausaha Kehormat Kedah, Asmirul Anuar Aris mendedahkan bahawa keputusan Pusat Timbangtara Antarabangsa Asia (AIAC) mengenai kes Akhyar Rashid memihak kepada pasukannya, JDT tampil menjelaskan perkara sebenar.
Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards dalam kenyataan di media sosial rasmi JDT memberitahu kes tersebut adalah mengenai pampasan yang perlu dibayar apabila Akhyar membuat keputusan untuk menamatkan kontraknya bersama Kedah, sekali gus tidak ada kena mengena dengan juara bertahan Liga Super itu.
Justeru, beliau menggesa mana-mana pihak supaya tidak perlu terlalu gembira serta menghentikan spekulasi dengan mengaitkan JDT seolah-olah ada kaitan dengan kes tersebut.
Edwards juga memberitahu JDT bukan sebahagian daripada kes itu dan tidak akan terkesan dengan sebarang tuntutan.
Buat masa ini, Asmirul berkata mereka sedang menuntut jumlah pampasan daripada perpindahan Akhyar ke JDT.
Bagaimanapun, status pendakwaan Kedah terhadap soal JDT yang berbincang dengan Akhyar tanpa pengetahuan pasukan asalnya, serta pendakwaan terhadap FAM yang gagal menangani kes tersebut dengan baik, masih belum diketahui.

Ulasan