Negeri Sembilan cukup serius dengan misi untuk kembali ke Liga Super tahun ini selepas terlepas peluang pada musim lalu.

Negeri Sembilan bakal bertemu JDT dalam pra-musim

Negeri Sembilan dilihat mengambil misinya ke Liga Super dengan cukup serius apabila bakal mengadakan perlawanan pra-musim bersama juara liga JDT pada 11 Januari ini.
Malah, pasukan tersebut akan turut melakukan pertemuan dengan Sabah pada 17 Januari dan Melaka pada 23 Januari depan.
Ketua jurulatih Sazali Saidon ia dilihat sebagai peluang untuk membentuk kesebelasan utama dan mencari kelemahan pasukan sebelum saingan liga bermula.
“Kita perlu mengadakan persiapan pramusim dengan program terbaik dan setakat ini tiga aksi persahabatan sudah dirancang membabitkan perlawanan dengan JDT, Sabah dan Melaka United,” katanya kepada Arena Metro.
“Menerusi aksi persahabatan dengan pasukan yang lebih berwibawa akan dapat membantu kita membentuk kombinasi mantap antara pemain selain melihat sebarang kelemahan dalam pasukan sebelum mengharungi cabaran liga.
“Kita perlu gunakan tempoh pramusim yang panjang ini dengan sebaik mungkin untuk mempersiapkan pasukan.”
Walaupun musim baharu, Sazali berkata seramai 16 pemain termasuk empat pemain import dari musim lalu masih dikekalkan.
“Keempat-empat pemain import musim lalu dikekalkan berdasarkan prestasi mereka sebelum ini dan diharap keserasian yang ada membolehkan kami tidak memerlukan masa lama untuk membentuk gandingan mantap.
“Menjadi hasrat saya untuk mengembalikan semula reputasi Negeri Sembilan dalam saingan liga tempatan seperti mana yang pernah dicapai sebelum ini selain menarik ramai penyokong ke stadium.
“Menerusi kombinasi pemain baharu dan senior dalam pasukan ini, sasaran membawa Negeri Sembilan kembali ke Liga Super musim 2021 boleh direalisasikan.”
Import Negeri Sembilan adalah Matheus Fernandes Vila Real, Jose Almir Barros Neto, Igor Carneiro Luiz dan Shunsuke Nakatake.
Negeri Sembilan turut menandatangani beberapa pemain baharu antaranya Shahurain Abu Samah, Shahrom Kalam dan Nur Shamie Iszuan Amin.
“Kita terlepas peluang musim lepas jadi muka baharu diperlukan untuk menggantikan pemain yang telah keluar.
“Lagipun kalau tukar terlalu ramai pemain, kita perlu bermula dari bawah semula dan ia akan mengambil masa.
“Musim lepas, kita tidak konsisten, perlu dapat mata walaupun tidak bermain baik.”
Sazali sudah mengenalpasti beberapa pasukan yang bakal menjadi saingan kepada Negeri Sembilan pada musim ini.
“Kuala Lumpur sudah menandatangani beberapa pemain ternama dan akan menjadi saingan Negeri Sembilan Pulau Pinang dan Kelantan.
“Tidak banyak beza antara kualiti pasukan, terpulang kepada pemain untuk beraksi dengan baik.

Ulasan