Nafuzi Zain: Kehadiran Darren Lok Beri Lebih Banyak Pilihan

Image
Ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain mengakui pengalaman luas dimiliki Darren Lok mampu untuk memberikan lebih banyak pilihan buatnya di jentera serangan sekaligus ia dapat membantu dalam memantapkan posisi tersebut.
Semalam, penyerang berusia 30 tahun itu diumumkan sebagai rekrut terbaharu buat TFC apabila memeterai kontrak selama setahun selepas lima musim menabur bakti bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) (termasuk JDT II).
Menurut sumber Bernama, Darren telah diuji selama seminggu dalam sesi latihan bersama pasukan dan tempoh tersebut sudah cukup buatnya untuk memuaskan hati Nafuzi Zain.

“Kehadiran beliau (Darren) juga memberikan saya lebih pilihan pemain pada bahagian serangan. Ia juga mewujudkan persaingan sihat bagi pemain-pemain lain merebut tempat dalam kesebelasan utama.”
“Saya yakin pengalaman luasnya di kelab Eastbourne Borough, England, Johor Darul Ta’azim (JDT) dan JDT II akan membantu menguatkan pasukan TFC pada musim ini,” ujar Nafuzi kepada wakil Bernama.
Pemain kacukan berdarah Malaysia-England ini pernah beraksi bersama skuad kebangsaan bagi menghadapi saingan Kejuaraan AFF Suzuki 2016 dan kali terakhir beliau menyarung jersi negara adalah pada tahun 2018.
Di pentas domestik pula, beliau berjaya menjulang empat trofi kejuaraan selepas memenangi Liga Super 2017 dan 2018 serta Piala Malaysia 2017 bersama JDT dan musim lalu muncul juara Piala Cabaran ketika menyarung jersi JDT II.
Kredit fotoTerengganu FC

Ulasan