Nafuzi tertawan aksi Darren

Pemain baharu Terengganu FC, Darren Lok (dua dari kiri) menandatangani kontrak selama setahun bersama skuad itu musim ini. - Foto Ihsan TFC
Kuala Terengganu: Tertarik dengan corak permainan penyerang Harimau Malaya, Darren Lok membuatkan pengendali Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain tidak menunggu lama untuk merantai pemain itu.
Selain itu Nafuzi turut akui pemain berketinggian 1.74 meter itu mampu mengukuhkan jentera serangan pasukan bergandingan dengan penyerang import baharu kelahiran Mauritania, Dominique da Slyva dalam misi memburu gol.
Jurulatih muda itu juga mempunyai banyak pilihan di jentera serangan pasukannya sekali gus menyaksikan persaingan sihat untuk merebut slot kesebelasan utama bertemu Perak dalam aksi pertama pada 29 Februari depan.
"Selepas seminggu Darren menjalani latihan bersama TFC, saya berpuas hati dengan prestasi pemain itu dan memutuskan untuk mendapatkan khidmatnya bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2020. 
"Saya berkeyakinan pengalaman luas dimiliki Darren yang pernah mewakili kelab Eastbourne Borough di England sebelum bersama Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Johor Darul Ta'zim II (JDT II) bakal menguatkan lagi jentera serangan pasukan.
"Ditambah pula Darren pernah menyarung jersi skuad kebangsaan sekali gus memberi pilihan yang luas kepada saya untuk menyenaraikan pemain terbaik dalam kesebelasan utama pasukan," kata Nafuzi.
Semalam pemain berdarah campuran Malaysia-England berusia 30 tahun itu menandatangani kontrak selama setahun bersama skuad Penyu di Bangkok, Thailand.
Darren menjadi pemain kacukan kedua bersama TFC selepas pemain kelahiran Malaysia-Scotland, Stuart Wark disambar skuad itu sebelum ini.
Skuad TFC kini berada di negara Gajah Perang itu mengharungi aksi pramusim kejohanan empat penjuru mulai semalam dan pada perlawanan pertama bertemu Police Tero di Alphine Football Camp Traning, Bangkok, skuad Penyu tewas 0-2.

Ulasan