Menurut Shebby, pasukan lain masih belum dapat membuktikan mereka mampu mencabar JDT yang sudah menjuarai Liga Super enam kali berturut-turut.

Shebby Singh: JDT ada kelemahan, tapi mereka tetap akan jadi juara



Pengulas sukan, Shebby Singh menganggap Johor Darul Ta’zim (JDT) sebenarnya mempunyai kelemahan dalam pasukannya, namun beliau percaya Harimau Selatan akan terus mempertahankan kejuaraan dengan menjuarai Liga Super kali ketujuh pada musim ini.
Menurut pandangannya, pasukan lain masih belum dapat membuktikan mereka mampu mencabar JDT yang sudah menjuarai Liga Super enam kali berturut-turut.
“Memang JDT (akan juara Liga Super), mereka pasukan yang kukuh, pasukan yang mempunyai pemain yang jauh lebih baik berbanding pasukan lain,” kata Shebby kepada BH Sukan.
“Cuma satu kelemahan JDT iaitu di bahagian pertahanan tengah, tapi bukan mudah untuk pasukan lain bersaing dengan mereka. Kalau aspek serangan, JDT memang dahsyat.”
Bekas pertahanan kebangsaan, Azmil Azali pula enggan menidakkan peluang pasukan lain untuk mencabar Liga Super pada musim ini.
“Selangor dilihat amat bersedia dengan pembelian pemain berkualiti dan pengurusan yang nampak begitu komited untuk meraih ‘sesuatu’ musim ini.
“Kedah mengekalkan ramai pemain musim lalu yang sudah sedia dengan keserasian namun hanya perlu dipertajam selain perlu fokus kepada Liga Juara-Juara Asia (ACL).
“Terengganu juga menampilkan ramai pemain yang berwibawa dan Perak pula tampak lebih berhati-hati, tetapi mereka memiliki ramuan tersendiri untuk menghadapi musim ini.”

Ulasan