Kontroversi Akhyar Rashid: KFA tuntut pampasan lebih tinggi


Mohd Asmirul
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Kedah (KFA) membuatkan tuntutan supaya jumlah pampasan melibatkan kes perpindahan Akhyar Rashid dinaikkan sepadan dengan pelaburan dibuat bagi membangunkan pemain tersebut.
Setiausaha Kehormatnya, Mohd Asmirul Anuar Aris berkata, jumlah RM300,000 tidak berbaloi dan hanya sepadan dengan nilai pampasan untuk menebus baki kontrak semata-mata.
Katanya, berdasarkan jumlah yang diumumkan sebelum ini termasuk yuran perundangan dan lain-lain KFA akan menerima pampasan kira-kira RM327,000.
"Namun ia belum termasuk kos latihan, perbelanjaan yang kita lakukan untuk "menaikkan" pemain itu sebelum ini, sepatutnya jumlah itu juga diambil kira,"katanya kepada media selepas Majlis penyampaian faedah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kepada sebuah keluarga di Kampung Tengah, Kuala Kedah di sini hari ini.
Menurutnya, pihaknya telah menerima nasihat dari peguam yang mengatakan bahawa nilai pampasan tersebut boleh dinaikkan.
"Soal pemain itu mahu membuat rayuan untuk mengurangkan nilai pampasan, itu hak dia. Kita ada ruang kemuka hak dan Akhyar ada hak untuk merayu. Kita bergerak atas dasar profesional.
"KFA tidak berminat untuk bercakap dari sudut emosi atau peribadi tetapi lebih kepada dasar profesional berlandaskan undang-undang dan prinsip,"katanya.
Sementara itu, Mohd Asmirul berkata, KFA turut mengambil langkah sama terhadap JDT, bagaimanapun kes terbabit masih belum berlangsung dan masih berada di bawah FAM.
"Kalau tak selesai di FAM atau keputusan itu masih belum memihak kepada kita, KFA akan teruskan kes itu ke pihak berwajib seterusnya,"katanya.
Sabtu lalu, Pusat Timbang Tara (AIAC) memutuskan isu kontroversi perpindahan Akhyar memihak KFA selepas skuad Hijau Kuning itu tidak berpuas hati berkaitan isu pelepasan kontrak Akhyar yang diputuskan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebelum ini.
Difahamkan, ketika itu adik kepada bekas pemain kebangsaan, Rafdi Rashid itu masih memiliki kontrak bersama KFA sehingga 2019 dengan nilai baki kontrak atau tebus kontrak sebanyak RM210,000.
Bagaimanapun, keputusan Jawatankuasa Rayuan FAM memuktamadkan segala kemelut yang timbul dan mana-mana pasukan berhak mendapatkan Akhyar dengan nilai RM75,000 bersama jumlah tebus kontrak berjumlah RM210,000.
Jumlah berkenaan dipertikaikan KFA sebagai keputusan tidak 'menang-menang' kepada mereka selaku majikan dan KFA terpaksa menuntut pembelaan dengan mengheret kes terbabit ke AIAC.

Ulasan