Kedah, Selangor usah mimpi cabar JDT


KUALA LUMPUR: Johor Darul Ta'zim (JDT) dijangka tidak berdepan halangan untuk merangkul gelaran Liga Super buat kali ketujuh berturut-turut musim ini.
Bekas pemain kebangsaan, Serbegeth Singh menegaskan bahawa dia belum nampak pasukan yang mampu menggugat 'selera besar' Harimau Selatan untuk terus mendominasi saingan liga utama itu.
Katanya, Selangor dan Kedah yang dicanang bakal menjadi pencabar utama Liga Super musim ini juga dianggap belum mencapai tahap yang mampu merampas trofi kejuaraan yang sudah enam tahun dipegang JDT.
"Memang JDT (akan juara Liga Super), mereka pasukan yang kukuh, pasukan yang mempunyai pemain yang jauh lebih baik berbanding pasukan lain.
"Cuma satu kelemahan JDT iaitu di bahagian pertahanan tengah, tapi bukan mudah untuk pasukan lain bersaing dengan mereka. Kalau aspek serangan, JDT memang dahsyat," katanya kepada BH Sukan.
Sementara itu, bekas pertahanan kebangsaan, Azmil Azali turut senada dengan Shebby apabila melabel JDT sebagai pasukan yang sudah jauh ke depan berbanding pasukan lain.
Namun, katanya, masih ada harapan buat pasukan lain menidakkan kecemerlangan JDT, terutama dengan semua pasukan bertanding mengimpikan mahu menewaskan Harimau Selatan.
"Selangor dilihat amat bersedia dengan pembelian pemain berkualiti dan pengurusan yang nampak begitu komited untuk meraih ‘sesuatu’ musim ini.
"Sementara Kedah mengekalkan ramai pemain musim lalu yang sudah sedia dengan keserasian namun hanya perlu dipertajam selain perlu fokus kepada Liga Juara-Juara Asia (ACL).
"Terengganu juga menampilkan ramai pemain yang berwibawa dan Perak pula tampak lebih berhati-hati, tetapi mereka memiliki ramuan tersendiri untuk menghadapi musim ini," katanya.

Ulasan