KALENDAR LIGA MALAYSIA 2020#LigaSuper2020 #LigaPremier2020


SIARAN MEDIA KALENDAR LIGA MALAYSIA 2020

Malaysian Football League (MFL) telah mengumumkan  kalendar Liga Malaysia bagi musim 2020 yang bakal membuka tirai pada 28 Februari ini.

Perancangan ini dibuat selepas MFL mengambil kira jadual pertandingan AFC Champions League 2020, Pusingan Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023,  Piala AFF 2020 serta Kalendar Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) bagi pasukan kebangsaan.

Dengan pelaksanaan Economic Control Programme (ECP) pada tahun ini juga menyaksikan saingan Liga Malaysia akan bermula pada 28 Februari bagi memastikan segala prosedur dan proses ECP berjaya dipatuhi oleh semua pasukan dalam mengemukakan pelan perbelanjaan dan pendapatan sebelum boleh mendaftarkan pemain.

Selain daripada itu, tarikh-tarikh undian dan perlawanan Piala FA 2020 turut diambil kira dalam penyediaan jadual Liga Malaysia musim ini.

Malah kalendar Liga Malaysia ini juga sudah diedarkan kepada semua pasukan pada 12 Disember lalu dan segala maklum balas daripada pasukan yang diterima oleh sekretariat MFL turut telah dikemaskini.

Berikut adalah beberapa perkara utama yang diambil kira dalam penjadualan pertandingan Liga Super Malaysia (LS) 2020 dan Liga Premier Malaysia (LP) 2020.

1.    JADUAL PERLAWANAN FASA PERTAMA (LS1-LS5 dan LP1-LP5)

Jadual Liga Malaysia musim 2020 fasa pertama dikeluarkan bermula dari perlawanan LS1-LS5 dan LP1-LP5. Ini adalah lanjutan kepada undian Piala FA 2020 bagi pusingan ketiga (FA3) yang dijadualkan pada 19 Mac 2020 dan undian bagi peringkat Suku Akhir (QF) pada 16 April 2020. Undian akan dijalankan secara terbuka. Perlawanan liga fasa seterusnya akan dikemaskini selepas keputusan undian dan ini bagi memastikan perjalanan dan hari rehat pasukan di antara hari perlawanan liga dan Piala FA dapat diselaraskan.


2. FORMAT DAN TEMPOH LIGA

Liga Super Malaysia 2020 dan Liga Premier Malaysia 2020 masing-masing akan melibatkan 12 pasukan dengan setiap pasukan akan bermain 22 perlawanan (11 perlawanan sebagai pasukan tuan rumah dan 11 perlawanan sebagai pasukan pelawat).

Liga akan berjalan bermula Februari hingga Julai 2020.


3. PERLAWANAN DI DALAM BULAN RAMADAN

Perlawanan akan diteruskan di dalam bulan Ramadan seperti musim-musim sebelum ini.

Sebanyak enam pusingan Liga Super Malaysia 2020 dan Liga Premier Malaysia 2020, iaitu LS8-LS13 dan LP8-LP13, dan satu pusingan Piala FA Malaysia 2020, iaitu peringkat Suku Akhir Pertama (QF1), ini menjadikan tujuh pusingan perlawanan akan berlangsung pada bulan Ramadan.


4. TEMPOH PERJALANAN DAN REHAT PASUKAN

Setiap pasukan dijadualkan sekurang-kurangnya memperolehi dua hari perjalanan dan rehat di antara setiap perlawanan.

Bagi pasukan Johor Darul Ta’zim dan Kedah (sekiranya layak) yang dijadualkan bermain dalam Kelayakan AFC Champions League, kedua-dua pasukan akan menerima sekurang-kurangnya dua hingga tiga hari perjalanan dan rehat.


5. BERMAIN SEBAGAI PASUKAN TUAN RUMAH / PELAWAT

Semua pasukan yang dijadualkan bermain sebagai pasukan tuan rumah atau pelawat tidak melebihi dua perlawanan berturut-turut bagi setiap pusingan.

Walau bagaimanapun sekiranya pasukan layak untuk bermain di dalam pertandingan Piala FA Malaysia 2020, pasukan yang berkenaan berkemungkinan bermain tiga perlawanan berturut-turut sebagai pasukan tuan rumah atau pelawat tertakluk kepada keputusan undian Piala FA Malaysia 2020.


6. FIFA DAYS

Liga hanya akan berehat semasa tarikh-tarikh FIFA DAYS.

Walau bagaimanapun, pasukan kebangsaan akan bermain dalam Pusingan Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 pada tarikh-tarikh tersebut.


7. VENUE BAHARU DAN PERKONGSIAN VENUE

Bagi musim 2020 terdapat tiga venue baharu yang bakal digunakan iaitu Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri (Johor Darul Ta’zim), Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (Terengganu FC) dan Stadium UKM, Bangi (UKM FC).

Walau bagaimanapun, venue-venue tersebut masih belum mendapat pengesahan dari MFL.

Berikut adalah senarai pasukan yang berkongsi venue bagi musim 2020:

VENUE
Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras : PDRM (Liga Super) dan Kuala Lumpur (Liga Premier)

Stadium Negeri, Kuching : Kuching FA (Liga Premier) dan Sarawak United FC (Liga Premier)

Stadium Sultan Mohamad Ke-IV, Kota Bharu : Kelantan (Liga Premier) dan Kelantan United FC (Liga Premier)


8. VENUE YANG MASIH BELUM DILULUSKAN

Bagi venue-venue yang masih belum mendapat kelulusan MFL terutamanya pencahayaan lampu limpah yang gagal mencapai 1200 lux hendaklah membuat baikpulih dan menaik taraf lampu limpah venue masing-masing bagi melayakkan gelanggang tersebut dapat digunakan bagi perlawanan pada waktu malam.


9. DUA VENUE/PASUKAN DI DALAM SATU NEGERI

Bagi negeri-negeri yang mempunyai dua venue atau pasukan, perlawanan akan dimainkan pada hari yang berlainan sekiranya pasukan-pasukan tersebut bermain sebagai pasukan tuan rumah (PTR) setelah mengambil kira faktor logistik, kehadiran penonton dan juga keselamatan.

NEGERI

PAHANG: Stadium Darul Makmur, Kuantan (Pahang) dan Stadium Tun Abdul Razak, Jengka (Felda United FC).

JOHOR: Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri (Johor Darul Ta’zim) dan Stadium Tan Sri Dato’ HJ Hassan Yunos, Larkin (Johor Darul Ta’zim II).

PERAK: Stadium Perak, Ipoh (Perak) dan Stadium Majlis Perbandaran Manjung (Perak II).

SELANGOR: Stadium Shah Alam (Selangor) dan Stadium Majlis Perbandaran Selayang (Selangor 2).

TERENGGANU: Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (Terengganu FC) dan Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah (Terengganu FC II).

Jika berlaku sebarang perubahan dan pindaan Kalendar serta Jadual Pertandingan MFL adalah tertakluk kepada keputusan Ahli Lembaga Pengarah MFL.


Anda boleh muat turun jadual Liga Super 2020 di sini, dan jadual Liga Premier 2020 di sini.

Ulasan