"Kalau tak selesai di FAM atau keputusan itu masih belum memihak kepada kita, KFA akan teruskan kes itu ke pihak berwajib seterusnya."

Kes Akhyar Rashid: Kedah tetap ambil tindakan terhadap JDT



Kedah nampaknya masih belum berpuas hati dengan kes perpindahan Akhyar Rashid apabila mereka akan turut mendakwa JDT tidak lama lagi.
Setiausaha Kehormatnya, Asmirul Anuar Aris berkata, kes tersebut tidak hanya melibatkan antara Kedah dan Akhyar sebaliknya, turut melibatkan juara bertahan JDT.
“Dalam hal ini kita ambil tindakan terhadap kedua-duanya iaitu Akhyar dan JDT,” katanya kepada Warta Kedah.
“Kes Akhyar telah dibawa ke Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) yang mana kita dah dapat keputusannya sementara kes JDT masih belum berlangsung, masih ada di FAM.
“Kalau tak selesai di FAM atau keputusan itu masih belum memihak kepada kita, KFA akan teruskan kes itu ke pihak berwajib seterusnya.”
Asmirul turut menganggap pampasan berjumlah RM300,000 dirasakan masih belum mencukupi.
“Kalau ditambah dengan yuran perundangan dan sebagainya, KFA akan menerima kira-kira RM327,000. Tetapi bagaimana dengan soal latihan, perbelanjaan yang kita lakukan untuk ‘menaikkan’ pemain itu sebelum ini kerana jumlah itu juga sepatutnya diambil kira.
“Kita telah menerima nasihat dari peguam yang mengatakan boleh ‘masuk’ kali kedua yang memungkinkan nilai pampasan itu ditambah. Soal pemain itu mahu membuat rayuan untuk mengurangkan nilai pampasan, itu hak dia.
“Kita ada ruang kemuka hak dan Akhyar ada hak untuk merayu. Kita bergerak atas dasar profesional.”

Ulasan