Skuad JDT mengakhiri hari kedua latihan pra-musim 2020 mereka di Dubai, UAE dengan mengunjungi Nusr-Et Steakhouse; restoran yang dimiliki Salt Bae semalam.
Salt Bae atau nama sebenarnya, Nusret Gökçe membuka cawangan restorannya itu di Dubai pada 2014 – 3 tahun sebelum beliau popular seluruh dunia menerusi video aksinya menabur garam atas stik pada 2017.
Gökçe sendiri tiada di cawangan restorannya di Dubai pada malam skuad JDT datang. Tetapi ia tidak menghalang para pemain dan staf JDt untuk menikmati hidangan stik Nusr-Et Steakhouse yang disertakan dengan aksi ‘Salt Bae’ oleh staf-staf restoran tersebut.
Turut bersama dengan pemain dan staf JDT di restoran itu adalah DYAM Tunku Ismail (TMJ) bersama isterinya, Che Puan Khaleeda Binti Bustamam.
Harga makanan di restoran Salt Bae
Harga makanan di Nusr-Et Steakhouse sememangnya bukan harga marhaen – sesuatu yang sememangnya dijangka dari restoran yang dibuka di Dubai dan sering dikunjungi oleh ramai selebriti terkenal seperti David Beckham, Leonardo DiCaprio dan P. Diddy.
Sepinggan hidangan ‘Salt Bae Tomahawk’ yang dinikmati oleh pemain-pemain JDT berharga AED275 (RM304). Sekeping stik pula bermula dengan harga AED340 (RM376).
Hasil carian di Internet mendapati walaupun ramai pelanggan Gökçe mengaku harga hidangannya ‘agak mahal’, mereka berpuas hati kerana ‘rasa perapan stiknya yang enak’ dan persembahan staf yang menarik di hadapan pelanggan.
Sebagai rekod, JDT kini berada di Dubai sebagai persiapan pra-musim menjelang musim Liga Super 2020 yang bakal bermula hujung Februari nanti. JDT dijadualkan menentang 5 pasukan – salah satunya pasukan kebangsaan Turkmenistan – di sana.
Ulasan
Catat Ulasan