Hanya Akhyar terbabit bukan JDT - Edwards

Edwards dalam kenyataan di laman rasmi Johor Southern Tigers. - Foto ihsan Johor Southern Tigers

JOHOR BAHRU: Kelab Bolasepak Johor Darul Ta'zim (JDT) menegaskan bahawa keputusan Majlis Timbang Tara (AIAC) yang diputuskan baru-baru ini hanya membabitkan pemain JDT iaitu Akhyar Rashid dan ingin menjelaskan kelab JDT tiada sangkut paut dalam keputusan berkenaan.
Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards menegaskan kes berkenaan adalah di antara Akhyar dan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), sekali gus JDT tidak terlibat pada ketika ini.
"Jadi kepada mereka yang tidak memahami kes ini, tidak perlu melompat-lompat dan menyatakan bukan-bukan tentang keputusan itu. 
"JDT telah berhubung dengan peguam kami dan diberitahu bahawa kelab bukan sebahagian daripada kes ini dan tidak terjejas dengan sebarang tuntutan." kata Edwards dalam kenyataan di laman rasmi Johor Southern Tigers.
Dengan kenyataan Edwards itu menjelaskan kelab JDT tidak terbabit dalam isu yang membabitkan `persengketaan' antara Ahkyar dan KFA.
Kelmarin, Setiausaha Kehormat  KFA, Asmirul Anuar Aris mengeluarkan kenyataan betapa Kedah bagaikan mendapat kemenangan moral apabila keputusan perpindahan kontroversi bekas pemainnya, Akhyar Rashid ke Johor Darul Ta’zim (JDT) yang dirujuk ke Pusat Timbang Tara (AIAC) sebelum ini memihak kepada pasukan terbabit.
Beliau berkata, berdasarkan Majlis Timbang Tara, kes yang difailkan Mei tahun lalu berpihak kepada KFA, namun jumlah pampasan yang ditetapkan masih lagi perlu dipertimbangkan.

Ulasan