Adam Mahu Rebut Tempat Aidil Zafuan

Adam Nor Azlin JDt 2020 pra musim
Musim 2019 adalah musim kurang baik buat pertahanan tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), Adam Nor Azlin apabila prestasinya dilihat sedikit menurun menuju ke penghujung musim.
Menambah lagi keperitan buatnya adalah beliau gagal sebagai kapten skuad Sukan SEA 2019 ketika di Filipina pada penghujung tahun lalu yang menyaksikan skuad negara bungkus awal.
Karismanya sebagai pemain JDT dan juga pemain skuad senior kebangsaan tercalar gara-gara gagal membantu skuad muda negara serta menjurus kepada ‘pemergian’ Datuk Ong Kim Swee.
Oleh yang demikian, pemain berusia 24 tahun itu berazam mahu memperbaiki segalanya pada musim baharu nanti disamping mahukan slot sebagai pemain utama pasukan JDT.
“Secara peribadinya, saya mahu pastikan saya sentiasa konsisten berada dalam kesebelasan utama pasukan dan memenangi beberapa anugerah lagi,” ujarnya kepada akhbar The Star.
Pada musim lalu, Adam Nor Azlin dilihat digilirkan bersama kapten skuad kebangsaan, Aidil Zafuan Abd Razak untuk posisi benteng tengah JDT dalam semua pertandingan.
Begitupun, disebabkan impaknya tampak kurang, pengendali pasukan, Benjamin Mora lebih memilih untuk menggandingan Aidil Zafuan bersama pertahanan import, Mauricio.
Selain mahukan kesebelasan utama JDT, bekas pemain Selangor itu juga mahukan kesebelasan utama dalam skuad kebangsaan yang juga akan disaingi oleh individu yang sama, Aidil Zafuan.

“Saya juga masih belum pemain tetap dalam skuad kebangsaan kerana persaingan yang sengit. Saya mesti dapatkan slot tersebut,” tekad Adam Nor Azlin sambil impikan skuad negara layak ke Piala Asia.
“Saya mahu membantu JDT beraksi sehingga tahap tertinggi di Asia selain membantu skuad kebangsaan layak secara merit ke Piala Asia 2023. Saya perlu beri segalanya, tiada alasan,” tambahnya lagi.
Adam Nor Azlin menjelaskan yang beliau sentiasa bekerja keras dan menambah latihan sendiri bagi merealisasikan impiannya itu dan beraksi di Dubai ketika ini adalah sangat baik buatnya.
JDT sedang menjalani Jelajah Pra-Musim di Dubai dan akan melalui beberapa aksi persahabatan bagi persediaan musim baharu Liga Super 2020 yang dijangka bermula pada 28 Februari.
Harimau Selatan sudah melalui dua aksi iaitu tewas 0-2 kepada juara Liga Latvia, FC Riga dan menang tipis 1-0 ke atas kelab UAE, Dibba Al-Fujairah. Tiga lagi aksi persahabatan telah dirancang iaitu berdepan Turkeministan (26 Januari), MSK Zilina (29 Januari) dan Emirates FC pada 30 Januari.
Kredit Foto: JST

Ulasan