Cools - Foto Getty Images
PEMILIK Johor Darul Ta'zim (JDT) Tunku Ismail Sultan Ibrahim menafikan spekulasi pemain kacukan Belgium-Malaysia kelahiran Sarawak, Dion Johan Cools akan menyertai pasukan Harimau Selatan itu.
Menurutnya, peluang perlu terus diberikan kepada Cools bermain di peringkat tertinggi bersama kelab ternama yang mana ketika ini dia sedang mewakili kelab Liga Belgium, Club Brugge.
"Saya rasa dia masih muda dan mahu bermain di tahap tertinggi. Saya setuju dan saya pun sokong dia bermain di peringkat tertinggi supaya satu hari nanti sekiranya dia nak main dengan Malaysia sangat dialukan.
"Buat masa sekarang dia bermain dengan pasukan muda Belgium dan kita tahu Belgium ini main di Piala Dunia. Selain itu, dia juga bermain di kelab bereputasi besar.
"Satu hari nanti, jika dia nak balik ke sini dan ingin bermain di sini, JDT adalah tempat yang sesuai untuknya," katanya dalam sidang media, sebentar tadi.
Sebelum ini, Cools dikatakan bakal menyarung jersi JDT selepas dia dilaporkan mula kehilangan tempatnya dalam pasukan Brugge dan bersedia berpindah dari kelab itu.
Pemain berusia 23 tahun itu juga pernah memberikan bayangan mahu mewakili skuad negara melalui satu hantaran di laman instagramnya baru-baru ini.
Ulasan
Catat Ulasan