PERSATUAN Bola Sepak Perak (PAFA) berjaya mendapatkan khidmat bekas pemain import Kuala Lumpur, Guilherme De Paula bagi mengharungi saingan Liga Malaysia musim hadapan.
Pengurus pasukan, Datuk Adly Shah Ahmad Tah berkata, pemain import kelahiran Brazil itu mengikat kontrak selama setahun dan akan mula menjalani latihan bersama skuad The Bos Gaurus pada 28 Disember ini.
Katanya pemilihan De Paula dibuat selepas beberapa perbincangan bersama ketua jurulatih, Mehmed Durakovic.
“Antara sebab kita pilih dia adalah berdasarkan faktor kualiti dan pengalamannya yang sebelum ini pernah beraksi bersama beberapa pasukan Liga Malaysia seperti Selangor, PDRM dan Kuala Lumpur,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.
Sebelum ini, De Paula, 33, pernah membantu pasukan Selangor menjuarai Piala Malaysia pada 2015 selain menjadi antara tonggak utama yang membawa Kuala Lumpur menjuarai saingan Liga Premier Malaysia 2017.
Ulasan
Catat Ulasan