Razman yakin Melaka mampu cabar JDT


PEMAIN pertahanan berpengalaman Melaka United, Razman Roslan yakin skuad itu mampu muncul antara pasukan terbaik musim 2020.
Baginya kehadiran rakan gandingan bekas pemain kebangsaan terutama Safiq Rahim dan Khairul Fahmi Che Mat bersama beberapa pemain lain, bintang muda dan import dilihat gabungan menarik menghadapi cabaran getir musim depan.
Katanya, dia yakin Melaka mampu menjadi pencabar terbaik kepada Johor Darul Ta’zim (JDT), Pahang, Selangor dan pasukan lain sekali gus memenuhi impian tinggi penyokong setia skuad berkenaan.


“Apapun yang penting semua perlu memberi komitmen tinggi sepanjang sesi latihan dan perlawanan sebenar bagi menghasilkan keputusan lebih positif berbanding musim ini.
“Setiap pemain memiliki kelebihan dan keistimewaan tersendiri dan gabungan terbabit mampu memberi impak terhadap perjuangan pasukan Hang Tuah,” katanya.
Dia kekal bersama pasukan kendalian jurulatih Zainal Abidin Hassan mahu memastikan mereka mampu meraih kedudukan empat teratas liga.
Zainal pula berkata, kesemua pemain perlu memberi fokus jitu memantapkan persembahan secara berpasukan sepanjang sesi latihan ketika ini.
Katanya, dia yakin skuad berkenaan memiliki barisan lebih mantap kali ini dengan mereka perlu segera membentuk keserasian padu menjelang aksi pembukaan liga Februari 2020.

Ulasan