PRINSIP KEWANGAN “SPECTACULAR” JDT

PRINSIP KEWANGAN “SPECTACULAR” JDT
Sumber kewangan merupakan elemen paling penting dalam perjalanan sesebuah organisasi bola sepak. Ini kerana kegagalan menguruskan kewangan sering dikaitkan dengan kegagalan mencapai matlamat yang telah disasarkan.
Kelab Bolasepak Johor Darul Ta'zim (JDT) adalah contoh paling ideal sebagai kelab yang mempunyai kewangan yang terjamin, penajaan yang menakjubkan, berdikari dan tegap berdiri atas kakinya sendiri. Tanpa mengharapkan ehsan dana dan sumber kewangan dari mana-mana badan kerajaan dalam negeri, ia menjadikan JDT hari ini sebagai kelab paling stabil, realistik dan sempurna di Malaysia.
TIADA SUNTIKAN POLITIKUS
Sejak dahulu lagi, konservatif atau secara tradisinya, kebanyakan persatuan bola sepak (FA) negeri terlalu mengharapkan peruntukan kewangan dari kerajaan sesebuah negeri.
Mencari penajaan tidak menjadi gerak kerja pilihan. Umpama jalan singkat, individu yang mempunyai kuasa politik dibawa masuk memegang tampuk tertinggi organisasi sebagai perantara memudahkan sumber kewangan disalurkan kedalam pasukan.
Namun strategi ini mempunyai impak yang amat negatif. Ini kerana, apabila berlaku perubahan pucuk pimpinan kerajaan, maka berlakulah unsur-unsur yang tidak diingini di dalam pasukan. Tiada peruntukan malah dana disekat atau dikecilkan akan menimbulkan antara masalah yang tidak dapat dielakkan.
Implikasinya, jurulatih serta pemain menjadi mangsa tunggakan gaji dan kebajikan mereka akan terabai. Tidak terhenti setakat itu, lebih kritikal ianya boleh menjadi punca pemain-pemain terjebak dengan masalah sosial seperti mengatur perlawanan dan gejala rasuah.
SUMBER KEWANGAN DALAM ORGANISASI
Berbeza dengan JDT, DYAM Tunku Mahkota Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Pemangku Raja menjadikan JDT sebagai kelab bola sepak yang tidak mempunyai tarikh luput dalam sumber kewangan. Sebagai pemilik mutlak JDT, baginda sentiasa memastikan JDT mempunyai sumber kewangan yang kukuh.
Segala dana diusahakan dari wang baginda sendiri, penjualan tiket, ‘merchandise’, hak penyiaran, hak komersial serta menerusi penajaan korporat dan paling penting, langsung tidak mengharapkan dana kerajaan tempatan.
Ini kerana baginda percaya dana kerajaan harus disalurkan kepada kesejahteraan rakyat seperti membangunkan sekolah serta hospital dan bukannya tertumpu untuk menyara persatuan bola sepak.
Imbas kembali, setelah JDT dimahkotakan sebagai juara Piala Malaysia 2019 pada 2 November 2019, Menteri Besar Johor, Dr Sahruddin Jamal telah mengumumkan satu insentif sebanyak RM500,000.00 kepada pasukan JDT sebagai penghargaan.
Namun DYAM Tunku Mahkota Ismail telah mengurniakan semula insentif itu kepada kerajaan negeri Johor pada 14 November 2019 supaya dapat dimanfaatkan kerajaan Negeri untuk tujuan kelestarian alam sekitar dan masalah pencemaran dalam negeri.
“Insentif ini diberikan sebagai dorongan dan pemangkin semangat kepada pasukan JDT, bagaimanapun DYAM Tunku Mahkota Ismail telah berkenan untuk mengurniakan semula insentif tersebut kepada kerajaan Negeri Johor”- Menteri Besar Johor, YAB Dr Sahruddin Jamal.
PELAN JANGKA PANJANG
Sumber kewangan sesuatu kelab atau pasukan memerlukan perancangan pengurusan dan strategi yang sistematik. Perancangan perlu ada visualisasi untuk jangka masa pendek dan jangka masa panjang.
DYAM Tunku Mahkota Ismail mempunyai pelan jangka panjang dalam memastikan kestabilan kewangan JDT dan tidak hanya fokus pada titik pembelanjaan jangka pendek. Kelangsungan perjalanan kelab lebih diutamakan dan kebajikan pemain tidak diketepikan.
Sehingga saat ini, JDT mempunyai kebebasan dalam kewangan, tiada bebanan hutang dan mempunyai kuasa membeli. Setiap musim berganti, inilah menjadi faktor JDT sentiasa dikelilingi oleh penaja yang yakin untuk terus bersama JDT.
“Kami bangga untuk terus menaja JDT”- Ernest Rodrigues, Pengurus Pemasaran Sukan Nike Malaysia dan Thailand.
Akhir kata, rasionalnya inilah hakikatnya, menguruskan organisasi bola sepak moden memerlukan seorang individu yang berpandangan jauh dan perlu ada keinginan yang tinggi untuk membina sebuah empayar.
Dengan perancangan dalam menguruskan sumber kewangan yang realistik diterapkan dalam organisasi, DYAM Tunku Mahkota Ismail menjadikan JDT berada dalam kelas tersendiri.
JDT tetap JDT, tiada tandingan. Masih terbaik dan kekal paling terbaik.
Sumber artikel: Media JST

Imej

Ulasan