MFL: Liga Malaysia bermula 28 Februari
Malaysian Football League (MFL) hari ini mengumumkan bahawa saingan Liga Super dan Perdana akan bermula pada 28 Februari depan.
Dalam satu kenyataan, MFL menjelaskan prosedur rapi serta proses Economic Control Programme (ECP) menjadi faktor saingan liga bermula pada akhir Februari tahun depan di mana proses untuk menyemak setiap bajet daripada setiap pasukan mengambil masa sebulan.
Ia sebagai usaha menangani masalah kewangan pasukan khususnya hutang dan tunggakan gaji pemain.
Justeru, MFL telah mengadakan taklimat pertama kepada kesemua pasukan bertanding mengenai proses serta prosedur ECP pada 18 November lalu dan keputusan mengenai tarikh penjadualan Liga Malaysia ini telah dipersetujui oleh Ahli Lembaga Pengarah MFL dalam mesyuarat semalam.
“Kesemua pasukan harus menyerahkan bajet kepada MFL sebelum tarikh tutup pada 15 Disember dan MFL akan mengenalpasti kos sebenar skuad utama yang dibenarkan pada 15 Januari tahun depan.
“Kemudian pasukan-pasukan barulah dibenarkan untuk mendaftarkan pemain sebaik jendela perpindahan pertama liga dibuka pada 16 Januari hingga 15 Mac tahun depan.
“Tempoh masa ini bagi memastikan persediaan mereka berada dalam tahap terbaik selaras pengenalan ECP pada musim depan,” kata MFL dalam satu kenyataan rasmi, hari ini.
Saingan liga pada 28 Februari ini akan bermula dengan Piala Sumbangsih yang menemukan juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan juara Piala FA, Kedah di Stadium Larkin.
Sejumlah 12 pasukan Liga Super dan 12 pasukan Liga Premier akan berentap memburu kejuaraan musim ini yang bakal berakhir pada 19 Julai 2020.
Namun musim 2021 dijangka bermula lebih awal berikutan setiap pasukan dikehendaki menyerahkan bajet kewangan pasukan utama pada 31 Oktober 2020 dan keputusan kelulusan struktur kewangan diumumkan pada 30 November 2020.
Ulasan
Catat Ulasan