BEKAS pemain import Kedah dan Melaka United, Liridon Krasniqi atau lebih dikenali dengan panggilan Mat Don sah menjadi milik juara Liga Super enam musim berturut-turut, Johor Darul Ta’zim (JDT).
Krasniqi yang akan didaftarkan sebagai pemain tempatan selewat-lewatnya Januari ini selepas urusan dokumentasi menjadi warga negara selesai, memperkuatkan JDT bagi saingan Liga Super dan Liga Juara-Juara Asia musim depan.
Pemain tinggi lampai itu yang beraksi di Kedah dari 2015 hingga 2018 jelas teruja menyarung jersi Harimau Selatan dan mengakui JDT antara pasukan terbaik yang sentiasa memiliki impian untuk mencapai kejayaan.
“Kenapa saya pilih JDT? Jawapan yang mudah kerana JDT kelab terbaik di Asia Tenggara dan kelab itu sentiasa memiliki visi dan misi untuk mengecapi kejayaan dan sebagai pemain saya mahu merealisasikan impian mereka.
“Sepanjang latihan bersama JDT sejak awal bulan ini, semua pemain menerima kehadiran saya dengan baik dan saya anggap mereka keluarga saya dan setiap pemain memberi kerjasama baik sama ada di padang atau di luar padang.
“Musim lalu saya berdepan masalah kecederaan. Ia satu pengalaman pahit dan saya enggan lagi mengingati peristiwa itu,” katanya.
Ulasan
Catat Ulasan