KUALA LUMPUR: Bekas bintang import Kedah, Liridon Krasniqi hampir pasti memperkuatkan skuad Johor Darul Ta'zim (JDT) bagi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.
Ia susulan laman Facebook rasmi kelab, JOHOR Southern Tigers memuat naik gambar pemain kelahiran Kosovo itu bersama skuad Harimau Selatan, semalam.
Liridon kemungkinan boleh didaftarkan sebagai pemain tempatan buat JDT sekiranya proses mendapatkan status pemain naturalisasi dapat diselesaikan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Namun, sehingga kini tiada pengumuman rasmi daripada JDT mengenai status Liridon bersama pasukan itu.
Liridon pernah dikaitkan dengan JDT pada awal musim lalu selepas dia dikatakan menolak tawaran Pahang pada saat akhir.
Namun, khabar angin itu tidak menjadi kenyataan selepas dia menyertai Melaka United sebelum disisihkan pada pertengahan musim akibat kecederaan panjang.
FAM sebelum ini dilaporkan mengemukakan nama Liridon serta Guilherme De Paula untuk mendapatkan status naturalisasi bagi memperkuatkan lagi skuad Harimau Malaya.
Nama Liridon sememangnya tidak asing lagi dalam kancah Liga M selepas empat musim bersama Kedah dari 2015 hingga 2018 selain berjaya membantu Helang Merah meraih beberapa kejayaan termasuk menjulang Piala Malaysia 2016 dan Piala FA 2017
Ulasan
Catat Ulasan