Liridon sah milik JDT


Liridon Krasniqi

JOHOR Darul Ta'zim (JDT) sah mendapatkan khidmat bekas pemain Kedah, Liridon Krasniqi bagi memperkuatkan cabaran skuad Harimau Selatan itu bagi saingan Liga Malaysia dan Liga Juara-Juara Asia (ACL), musim depan.

Pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, beliau percaya impak yang mampu disumbangkan Liridon kepada juara enam kali Liga Super itu dan yakin pemain berusia 27 tahun itu masih berada pada prestasi terbaik untuk mengharungi saingan liga.

"Sudah tentu saya tidak pernah tengok dia bekerja keras seperti ini. Buat masa ini jurulatih serta jurulatih kecergasan dan pengurus pasukan berpuas hati dengan tahap kecergasan Liridon.

"Kami sebenarnya agak terkejut kerana kami dengar khabar angin dia merupakan seorang pemain yang bermasalah. Namun selepas saya tengok kerja keras, dedikasi dan disiplinnya, dia merupakan seorang pemain yang profesional," katanya pada sidang media selepas majlis menandatangani kontrak antara Liridon dan JDT, sebentar tadi.

Sebelum ini, spekulasi perpindahan Liridon ke JDT sudah beberapa minggu diperkatakan selepas dia dilihat menjalani latihan bersama pasukan itu.

Liridon pernah bersama Kedah selama tiga musim iaitu pada tahun 2015 hingga 2018 sebelum berhijrah ke Melaka United pada 2019 namun kerap dibayangi dengan masalah kecederaan.

Tunku Ismail juga mengakui Liridon berada pada motivasi terbaiknya selepas menyertai JDT.

"Kami hargai dedikasinya bersama pasukan dan kami akan sentiasa memantau prestasinya. Dia merupakan seorang pemain hebat dan lebih bermotivasi apabila menyertai pasukan seperti JDT ini.

"Dia pun sedar dia bukan 'superstar' dan dia kena berusaha untuk mendapatkan tempat dalam pasukan seperti pemain lain," katanya.

Ulasan