Kumpulan sukar buat JDT


LALUAN berliku dihadapi Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam kempen Liga Juara-Juara Asia tahun depan selepas diundi dengan dua bekas juara dalam Kumpulan G.
Skuad kendalian Benjamin Mora itu diundi bersama juara dua kali Guangzhou Evergrande dari China dan Suwon Bluewings dari Korea Selatan.
Evergrande yang kini dibimbing pemain legenda Itali, Fabio Cannavaro muncul juara pada 2013 dan 2015 manakala Suwon menang dua tahun berturut-turut pada 2001 dan 2002.


Satu lagi pasukan dalam kumpulan itu kelab dari Jepun namun nama pasukan itu belum dimuktamadkan.
Pengurus JDT, Luciano Figueroa mengakui mereka berdepan laluan sukar apabila diundi dengan pasukan yang kuat seterusnya perlu bekerja keras untuk menempah tiket ke pusingan berikutnya.
Beliau berkata, pengurusan dan jurulatih akan melakukan analisis secara terperinci mengenai kelab lain dalam kumpulan itu bagi memastikan skuad Harimau Selatan tampil lebih bersedia dan meyakinkan.
“Undian Liga Juara-Juara AFC kali ini agak sukar namun saya yakin pasukan akan bermain dengan lebih baik berbanding musim lalu.
“Sudah tentu pengalaman musim lalu memberi banyak kelebihan kepada pemain untuk tampil lebih bersedia dan memperbaiki mutu permainan untuk bersaing dengan pasukan yang lebih hebat,” katanya ketika ditemui pada majlis undian di ibu pejabat Konfederasi Bolasepak Asia, Bukit Jalil, hari ini.
JDT menghuni tangga tercorot Kumpulan E selepas hanya menang sekali dalam enam perlawanan menentang Shandong Luneng (China), Kashima Antlers (Jepun) dan Gyeongnam FC (Korea Selatan) tahun ini.

Ulasan