KETERUJAAN MENCAPAI ASPIRASI ORGANISASI JOHOR DARUL TA’ZIM
“Saya belum berpuas hati lagi. Banyak lagi kerja. Inilah mentaliti yang saya ‘implement’ dalam JDT. Tidak pernah berpuas hati, dan tidak pernah berasa selesa. Sentiasa inginkan yang lebih baik. JDT Selamanya”- DYAM Tunku Mahkota Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Pemangku Raja
Pembentukan sebuah pasukan yang hebat memerlukan sedikit kesabaran dan kepercayaan kepada pengurusan kelab. Kritikan serta persepsi negatif dari pengkritik dan penyokong bola sepak tanah air menjadi santapan yang dihidangkan setiap hari bermula dari awal penjenamaan semula Kelab Bolasepak Johor Darul Ta'zim (JDT).
Ironinya ini bukan perkara mudah. Namun dengan kesungguhan yang tinggi dalam usaha mahu melihat bola sepak Negeri Johor dipandang tinggi, DYAM Tunku Mahkota Ismail berusaha keras sehingga berjaya ditahap sebegini.
MEMPUNYAI TUJUAN YANG JELAS
JDT merupakan sebuah kelab yang mempunyai misi, visi dan aspirasi yang telah diatur dengan rapi sejak kewujudan. Merupakan kelab kecil yang mempunyai aspirasi besar untuk menempa kejayaan dalam arena bola sepak, DYAM Tunku Mahkota Ismail juga mahukan JDT sentiasa bersedia untuk berkembang dari musim ke musim. Sentiasa dahagakan kejayaan dan sentiasa berkemahuan tinggi untuk menggapai lebih banyak kemajuan.
Sehingga kini, JDT berdiri sebagai sebuah kelab profesional yang dilengkapi pengurusan, fasiliti dan penyokong yang terbaik dan sempurna malah telah menjadi tarikan utama buat pemain profesional antarabangsa dan tempatan untuk menyertai pasukan ini.
Adalah menjadi penghormatan bagi pemain yang dipilih untuk menjadi sebahagian dari projek kelab hebat yang bercita-cita tinggi ini. Kini, dunia lebih mengenali JDT berbanding kelab-kelab lain di negara ini.
KEMATANGAN DALAM PERJUANGAN
Setiap tahun, penanda aras yang diletakkan oleh DYAM Tunku Mahkota Ismail akan sedaya upaya dicapai mengikut perancangan yang telah diaturkan. Sejak penjenamaan semula JDT hasil inspirasi baginda, JDT membawa kesan yang besar dalam kancah bola sepak tanah air.
Falsafah dan DNA JDT yang menerapkan kemahuan untuk memenangi setiap perlawanan, kesedaran taktikal dan revolusi permainan kepada bola sepak moden juga tidak pernah berubah. Berikutan kejayaan DYAM Tunku Mahkota Ismail mengimplementasikan jalan keluar JDT dari pemikiran retrogresif bola sepak Malaysia, sejarah demi sejarah telah berjaya dicetak sejak 2013.
Perkara paling diingati adalah JDT berjaya menjadi pasukan tempatan pertama dari Malaysia yang menjulang piala berprestij Piala AFC 2015, selain memecah monopoli pasukan dari Asia Barat yang sebelum ini silih berganti menjadi juara Piala AFC.
JDT membuat kemunculan yang menyakinkan dan mampu bersaing setaraf kelab-kelab hebat dunia pada penampilan pertama dalam saingan Liga Juara-Juara AFC (ACL) pada musim 2019. Satu pencapaian yang sebelum ini mereka kata hanya sebuah illusi. Namun, dengan perancangan yang teliti dan terancang, DYAM Tunku Mahkota Ismail berjaya membuktikan bahawa semua tanggapan itu hanya dari individu yang hidup dengan penuh kegagalan.
KEBERANIAN DALAM MENCARI SOLUSI
JDT juga tidak lari dari menghadapi masalah turun naik prestasi pemain, salah faham antara penyokong dan beberapa masalah kecil pada setiap kali pertukaran musim. Namun perkara ini bukan suatu masalah yang besar untuk diselesaikan.
Setiap masalah akan diselesaikan dengan secepat mungkin tanpa mengganggu rentak dan pencapaian kelab. Semangat kekeluargaan dalam keluarga besar JDT adalah ‘formula trigo’ dalam menyelesaikan ‘kalkulus’ setiap masalah yang dihadapi.
MENGHARGAI SETIAP SOKONGAN
Penyokong merupakan tunjang dan tulang belakang kepada Keluarga JDT. Penyokong juga merupakan komposisi yang paling utama dalam kelab ini.
Kepercayaan dan sokongan penyokong adalah salah satu dari rantai-rantai kejayaan JDT. Melalui JDT, DYAM Tunku Mahkota Ismail berjaya menterjemahkan perpaduan antara kaum dalam negeri Johor. Dahulu, adalah sangat sukar melihat kaum-kaum lain memakai jersi kelab liga tempatan, tetapi kini berbilang kaum di Johor amat berbangga apabila memakai jersi berlogokan JDT. Malahan mereka tanpa segan silu bersama-sama memeriahkan Stadium Larkin dalam setiap perlawanan.
"Saya suka melihat rakyat saya bersatu. Bolasepak adalah faktor perpaduan, tidak mengira kaum atau agama" - DYAM Tunku Mahkota Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Pemangku Raja.
DYAM Tunku Mahkota Ismail turut menyeru supaya setiap individu dalam organisasi JDT menghargai dan sentiasa berada dekat dengan penyokong-penyokong JDT. Dan dari sudut tugas penyokong, baginda menyarankan supaya penyokong membantu percambahan kelab.
Untuk makluman, DYAM Tunku Mahkota Ismail adalah satu-satunya pemilik kelab bola sepak yang berani berhadapan dengan penyokong dan soalan tanpa tapisan wartawan. Sesi dialog bersama penyokong dan media adalah pendekatan yang amat dinanti oleh penyokong JDT dan media tempatan kerana mereka dapat berada lebih dekat mengajukan soalan secara terus kepada baginda.
Akhir kata, JDT bukan sekadar kelab bola sepak, tetapi sebuah aspirasi.
“Saya hakmilik negeri Johor. Ini adalah tempat saya berkhidmat. Saya disayangi di sini. Saya mahu berada di mana saya disayangi” - DYAM Tunku Mahkota Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Pemangku Raja.
Sumber artikel: Media JST
Hidup Johor Demi Johor
#HarimauSelatan
#SouthernTigers
#PermataSelatan
#JewelOfTheSouth
#JDTuntukSemua
#JDTforAll
#HarimauSelatan
#SouthernTigers
#PermataSelatan
#JewelOfTheSouth
#JDTuntukSemua
#JDTforAll
Ulasan
Catat Ulasan