Keputusan Kes Akhyar Rashid Ke JDT Dijangka Hujung Bulan Ini


Selepas hampir setahun kontroversi melibatkan pemain muda negara, Muhammad Akhyar Abdul Rashid yang menyertai pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) berlalu, Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) akhirnya mendedahkan keputusan kes yang telah dirujuk ke Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) itu akan diketahui tidak lama lagi.
Menurut laporan Bernama, perkara itu dimaklumkan oleh Presiden KFA, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir ketika menyampaikan ucaptama sempena Kongres KFA kali ke-44 di Wisma Darul Aman pada Khamis.


Kredit Foto: Kedah FA
Selepas agak lama tidak memberikan sebarang berita mengenai kes itu, KFA menegaskan mereka masih meneruskan usaha untuk ‘mencari kebenaran’ dan pihak AIAC dijangka akan memutuskan kes itu selewat-lewatnya pada hujung bulan ini.
“Setelah gagal membawa kes ini ke Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), ia telah dirujuk ke AIAC. Bagi kes tuntutan KFA terhadap Persatuan Bola Sepak Johor pula, ia seolah-olah tidak bergerak kerana sehingga kini masih belum memasuki fasa rayuan.
“Jadi, KFA mengharapkan pihak FAM dapat bertindak dengan telus dalam menyelesaikan isu ini dengan segera,” kata Menteri Besar Kedah itu.
Dalam masa yang sama, Mukhriz turut memaklumkan, sumbangan sebanyak RM50,000 yang dikutip untuk membawa kes berkenaan ke mahkamah timbang tara sudah digunakan sepenuhnya untuk menampung kos guaman.

Sekalipun jumlah tersebut tidak mencukupi, pihak KFA telah menanggung segala kos tambahan bagi memastikan segala kos tambahan dapat diselesaikan.
KFA mengambil keputusan untuk membawa kes berkenaan kepada pihak AIAC selepas mereka tidak berpuas hati dengan keputusan FAM yang memutuskan perpindahan itu sah dan tiada sebarang tindakan akan diambil kepada pemain itu dan JDT.
Dalam keputusannya, FAM sekadar menetapkan pemenang Anugerah Pemain Muda Harapan di Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2019 itu boleh menebus baki kontraknya dengan membayar RM210,000 kepada Kedah. JDT pula hanya perlu membayar RM75,000 kepada Kedah sebagai nilai pampasan.

Ulasan