JDT sah ikat Mat Don

JURULATIH JDT Benjamin Mora Mendivil (kiri) bersama Pengurus Pasukan JDT Luciano Gabriel Figueroa (kanan) bergambar bersama pemain baru JDT Liridon Krasniqi (tengah) selepas menyaksikan sesi menandatangani kontrak menyertai pasukan bola sepak Harimau Selatan itu, pada majlis memperkenalkan pemain baru di Ibu Pejabat Kelab Bola Sepak JDT. - Foto BERNAMA
ISKANDAR PUTERI: Johor Darul Ta'zim (JDT) secara rasmi mengumumkan Liridon Krasniqi sebagai pemain baharu yang di bawa masuk kelab itu untuk mengharungi saingan Liga Super dan Liga Juara-Juara Asia (ACL) pada musim depan.
Krasniqi yang pernah beraksi bersama Kedah pada musim 2015 sehingga 2018 dan kemudian berpindah Melaka United (MU) bakal didaftarkan sebagai pemain tempatan selewat-lewatnya Januari ini selepas urusan dokumentasi menjadi warganegara selesai.
Dia yang ditemui pada sidang media jelas teruja tatkala akan menyarung jersi Harimau Selatan bagi membawa cabaran juara liga enam musim berturut-turut mengharungi kempen Liga Malaysia (Liga M) yang bermula 28 Februari ini.
"Kenapa saya pilih JDT.  Jawapan yang mudah kerana JDT adalah kelab terbaik di Asia Tenggara dan kelab itu sentiasa memiliki visi dan misi untuk mengecapi kejayaaan dan sebagai pemain saya mahu merealisasikan impian mereka.
"Sepanjang latihan bersama JDT sejak awal Disember lalu, semua pemain menerima kehadiran saya dengan baik dan saya anggap mereka adalah keluarga saya dan setiap pemain memberi kerjasama yang baik sama di padang atau di luar padang.
"Musim lalu saya berdepan masalah kecederaan dan ia pengalaman pahit dan enggan lagi mengingatkan peristiwa itu. Apapun saya berterima kasih kepada Tunku Ismail (Sultan Ibrahim) walaupun ketika itu saya bukan pemain JDT tetapi Baginda membantu saya untuk proses pemulihan," kata Krasniqi.
Sementara itu, Tunku Ismail mengesahkan pemain kelab Club Brugge, Dion Johan Cools tidak akan menyertai skuad Harimau Selatan pada musim depan dan mahu pemain itu meneruskan karier bola sepak di Belgium.
"Saya lebih suka Dion beraksi di Belgium. Anda pun tahu kan Belgium pasukan yang beraksi di Piala Dunia dan biar dia mendapat pendedahan sepenuhnya dan jika hendak main untuk JDT pintu kami sentiasa terbuka," kata Tunku Ismail.
Dengan kehadiran Krasniqi menyertai skuad Harimau Selatan maka lengkap sudah barisan pemain pasukan itu apabila mengekalkan barisan pemain musim ini untuk menghadapi kancah Liga M dan skuad itu akan mengadakan aksi persahabatan pramusim di Dubai, Emiriah Arab Bersatu bermula 15 Januari ini.
Bagi jurulatih JDT, Benjamim Mora aksi di negara Timur Tengah amat penting buat pasukan bimbingangnya bukan sahaja untuk bersaing dalam kancah ACL malah bakal membentuk barisan pemain mantap pada kempen liga elit domestik.
"Kami akan mengadakan sekurang-kurangnya empat atau lima perlawanan persahabatan menentang kelab yang berpengkalan di Dubai dan ia peluang terbaik untuk menimba pengalaman dan mempelajari apa yang baharu.
"Kami tahu kelab di Dubai adalah kelab terbaik. Kami akan cuba beri tentangan sengit dan berusaha untuk menang kerana ia akan menaikkan lagi motivasi pemain saya apabila berdepan dalam kancah ACL dan Liga Super," kata Mora.

Ulasan