Pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim. - Foto NSTP
JOHOR BAHRU: Johor Darul Ta'zim (JDT) akan mengadakan beberapa siri perlawanan persahabatan pra musim di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) bagi persiapan rapi menghadapi musim baharu Liga Malaysia (Liga M) dan saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL).
Pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengesahkan destinasi latihan skuad Harimau Selatan adalah di Dubai dan akan mengadakan beberapa perlawanan persahabatan dengan kelab ternama di sana.
"Kenapa saya pilih Dubai kerana kebanyakan kelab-kelab di Eropah juga mengadakan pra musim mereka di sana seperti Spartak Moscow dan macam-macam kelab ada di sana. Malah kelab-kelab yang beraksi di kancah ACL juga berada di Dubai termasuk kelab dari China.
"Saya mahu pemain mendapat pendedahan terbaik. Tidak kisah kena belasah ke ketika siri perlawanan persahabatan, sekurang-kurangnya pemain tahu kekuatan dan kelemahan mereka untuk persiapan menghadapai kancah Liga Super dan ACL.
"Pemain akan bertolak ke Dubai pada 15 Januari ini dan akan berada di sana sekurang-kurangnya dua minggu. Ada pihak di sana yang tanggung tetapi tidak sepenuhnya. Malah saya juga merancang untuk mengadakan aksi persahabatan di Johor Bahru," kata Tunku Ismail.
Baginda juga berharap dengan pendedahan terbaik di Dubai, sasaran JDT dalam kempen ACL pada musim depan adalah layak ke pusingan kedua selepas beraksi cemerlang pada penampilan pertama dalam saingan kelab ternama Asia musim ini.
Mengenai status Liridon Krasniqi yang menjalani latihan bersama JDT sejak Khamis lalu, Tunku Ismail menegaskan belum ada pengumuman lagi sama ada bekas pemain Kedah dan Melaka United itu akan menyertai pasukan juara Liga Super enam musim berturut-turut itu.
"Liridon datang ke JDT untuk kita bantu dia memulihkan kecergasan dan kita hanya akan membuat pengumuman jika menandatangani pemain yang memiliki nama besar. Dia menyertai latihan kerana kemungkinan dijadikan pemain berstatus naturalisasi.
"Kita mahu Liridon cergas apabila menyarung jersi Harimau Malaya dan mungkin juga dia akan sertai JDT namun jika semua prosedur operasi standard (SOP) dilaksanakan maka kita akan umum secara rasmi statusnya. Buat masa ini belum ada apa-apa nak umumkan lagi.
"Ingin saya jelaskan terutama kepada penyokong JDT, selagi tiada pengumuman rasmi, usahlah menyebarkan khabar angin. Saya tahu ada sesetengah media sosial nak kejarkan ‘like’ apabila memuat naik cerita yang sensasi.
“Saya faham tapi apabila kelab tidak buat pengumuman bermakna tiada apa yang berlaku, " kata Tunku Ismail.
Baginda juga menegaskan pengumuman sudah dibuat selepas berakhirnya saingan Liga Super musim ini yang menyatakan tiada perubahan dalam skuad Harimau Selatan sekali gus mengesahkan kesemua pemain dalam pasukan itu akan kekal.
"Mungkin ada satu atau dua atau tiga pemain baharu akan dibawa masuk sama ada pemain dari Akademi JDT ke... Liridon ke ... atau ada lagi yang pemain lain yang akan sertai JDT," kata Tunku Ismail.
Ulasan
Catat Ulasan