Gagal Pikat Harimau Selatan, Kali Kedua Aaron Niguez Terpaksa ‘Angkat Kaki’


Pada awal Disember lalu, kelibat Aaron Niguez, pemain import yang telah dilepaskan oleh Johor Darul Ta’zim (JDT) pada awal musim lalu telah mencuri perhatian semua. Kelihatan pemain berusia 30 tahun itu sedang berlatih bersama skuad utama.
Dalam video yang dikeluarkan oleh Johor Southern Tigers itu, kelibatnya dan juga pemain baharu JDT, Liridon Krasniqi telah mencuri perhatian para penyokong skuad Harimau Selatan.
Ia menimbulkan spekulasi, adakah pemain tersebut bakal kembali menyarung jersi Merah Biru ataupun hanya sekadar kembali untuk memikat pengurusan pasukan untuk mengambilnya semula.
Pemain tersebut sememangnya menarik perhatian ramai bukan hanya sekadar abang kepada Saul Niguez, pemain Atletico Madrid, tetapi gaya permainannya yang memiliki skil gelecekan yang baik.
Namun, segalanya seakan-akan berakhir apabila Aaron Niguez melalui akaun instagramnya telah memuat naik gambarnya bersama anaknya berserta status di dalam kapal terbang.
“Saya telah selesai bersama Johor Darul Ta’zim. Terima kasih kepada @officialjohor!” katanya dalam posting tersebut.
Ini merupakan kali kedua Aaron Niguez terpaksa meninggalkan bumi Johor dan kali ini tanpa sebarang aksi kompetitif di padang.

Aaron Niguez dilepaskan oleh JDT pada Februari lalu selepas membantu JDT meraih Piala Sumbangsih dan tempatnya telah diambil alih oleh Leandro Velazquez, pemain JDT musim 2015.
Ketika dilepaskan, JDT melalui laman Johor Southern Tigers memaklumkan yang perubahan taktikal pasukan adalah punca mereka terpaksa melepaskan produk akademi Valencia itu. Ianya adalah selepas pemerhatian dalam latihan dan perlawanan.
“Saya rasa Harimau Selatan perlu membuat perubahan taktikal untuk menguatkan pasukan. Keputusan ini dibuat selepas membuat pemerhatian daripada sesi latihan dan perlawanan kompetitif,” ujar pengurus pasukan, Luciano Figueroa.
Kini, selepas sahaja selepas Tunku Mahkota Johor (TMJ) selesai mengumumkan beberapa perkara mengenai hala tuju JDT, dua pemain import dari Sepanyol dan Jepun yang bakal menyertai pasukan, Aaron Niguez akhirnya terpaksa mengangkat kaki.
Nyata, beliau seperti tiada dalam perancangan pasukan untuk musim akan datang sama ada bersama JDT mahupun JDT II.
Kredit Foto: JST

Ulasan