Dominic Akan Beraksi Di Thai League 1, Sertai Police Tero FC Dengan Kontrak 2 Tahun


Persoalan mengenai masa depan pemain skuad bawah 22 tahun (B-22) negara, Dominic Tan Jun Jin akhirnya terjawab selepas kelab yang berpangkalan di Thailand, Police Tero FC mengesahkan pasukan tersebut telah mengikat bekas pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu dengan kontrak selama dua tahun.
Pengumuman rasmi telah dibuat menerusi laman sosial pasukan berkenaan pada Isnin selepas pemain berusia 22 tahun itu berjaya memikat pihak pengurusan kelab yang akan beraksi di Thai League 1 itu pada musim depan sebagai pemain import kuota ASEAN.
Sekalipun Dominic hanya membuat satu penampilan bersama The Silver Shields Dragons, ianya tidak menghalang untuk naib juara Thai League 2 itu mengekalkannya kerana melihat potensi yang ada pada beliau yang bermain di posisi pertahanan.
“Sebelum ini, pihak pengurusan (Police Tero FC) melihat potensi pemain ini sebelum bersetuju untuk mengikat khidmatnya bersama The Silver Shield Dragons.
“Dominic yang merupakan pertahanan skuad senior kebangsaan dan skuad bawah 23 tahun boleh bermain selaku pertahanan tengah dan pertahanan tengah kanan melengkapkan kuota pertama kelab.” kata kenyataan kelab.
Beberapa hari lepas, Dominic Tan mengucapkan ‘selamat tinggal’ kepada bekas kelabnya, JDT selepas empat musim bersama.

Sepanjang bersama skuad Harimau Selatan itu, beliau lebih banyak beraksi bersama JDT II dan telah dipinjamkan ke kelab Portugal, Vilaverdense FC dan kelab baharunya Police Tero FC yang beraksi di liga divisyen kedua Thailand.
Kredit Foto: Police Tero FC

Ulasan