Pemain sayap menyerang, D. Saarvindran dilihat berada dalam sesi latihan Terengganu FC sejak beberapa hari lalu dan ini menguatkan perkhabaran yang pemain ini mungkin telah menyertai pasukan.
Menerusi laman Twitter peribadinya, Saarvindran telah membuat ciapan pada 1 Disember lalu yang beliau akan meninggalkan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan kemudian pada 19 Disember, beliau dilihat berkongsi gambar sesi latihan Terengganu FC di Kuala Terengganu.
Tiga tahun bersama JDT, Saarvindran hanya beraksi bersama JDT II kebanyakkannya dan gagal untuk memecah masuk ke skuad utama dan begitu juga situasi di JDT II yang dibarisi pemain yang bagus.
Pemain berusia 27 tahun itu seharusnya sudah beraksi sebagai pemain utama dalam mana-mana pasukan Liga Super namun kelibatnya hanya dapat dilihat kadang kala di Liga Premier.
Walaupun masih tiada pengumuman rasmi mengenai penyertaan bekas pemain Harimau Muda ini ke dalam skuad Terengganu FC, Semuanya BOLA cuba menghubungi pengendali, Nafuzi Zain bagi mendapatkan perincian mengenai status kehadiran pemain itu.
Selepas beberapa pengumuman pemain baharu, sehingga kini tiada sebarang pengumuman pemain yang menyertai pasukan melainkan kelibat Saarvindran yang menjadi tumpuan ramai. Nafuzi Zain turut mengesahkan yang tiada pemain baharu.
“Tiada yang baru [pemain]. Setakat ini hanya ada Saarvindran. Hari itu, dia ada datang untuk trail selama lima hari, untuk cari latihan pertama. Lepas kita nilai, saya macam berminat untuk ambil dia.
“Kemasukkannya menambah pilihan [buat saya]. Dia bermain di bahagian sayap dan kita tahu, Saarvindran pernah bermain dengan Harimau Muda dan kemudian Pahang dan JDT. Kita rasa, dia ada kualiti tersendiri untuk memperkuatkan pasukan,” jelasnya.
Semuanya BOLA turut bertanya mengenai peluang Saarvindran untuk bermain sebagai pemain utama selepas musim lalu, Sang Penyu dilihat bergelut dan kekurangan impak di posisi tersebut.
“Musim depan kita akan ada banyak pilihan [pemain sayap] seperti Faris [Ramli] dan pemain-pemain tempatan lain. Kita cuba perbaiki di posisi sayap, lebih kurang begitulah,” tambahnya lagi mengenai pilihan pemain di bahagian sayap yang dilihat kian bertambah.
Walaubagaimanapun, penyertaannya bekas pemain muda negara ini masih menanti pengumuman rasmi daripada pihak Terengganu FC dan dijangkakan ia bakal dimuktamadkan dalam masa terdekat.
Kredit Foto: Terengganu FC
Ulasan
Catat Ulasan