B. Satiananthan: Tiada Penambahan Bajet, Saya Bekerja Mengikut Bajet Yang Sama


Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Mahkota Johor (TMJ) dipetik menerusi sesi No Holds Barred yang disiarkan di laman Facebook, Johor Southern Tigers berkata, Selangor dan Kedah adalah pasukan pilihan kerana telah melabur wang yang banyak.
Ketika diajukan persoalan mengenainya, pengendali Selangor, B. Satiananthan jelas berbeza pendapat kerana menurutnya bajet yang dimiliki pasukannya masih sama dan tiada pertambahan.
Apa yang diusahakannya bersama pihak pengurusan seperti kemasukkannya pemain-pemain baharu yang berkualiti tidak menjejaskan bajet yang ditetapkan sebagaimana sebelum ini.
“Saya tidak rasa kami memiliki bajet yang besar. Jika kamu lihat pemain-pemain yang ada, kamu akan rasa perkara yang sama.
“Saya bekerja mengikut bajet yang ditetapkan. Dan jangan dilupa yang sebahagian besar bajet kami disalurkan untuk pembangunan. Ini kali pertama Selangor melakukan perkara sebegini,” jelasnya.
Satiananthan turut dipetik berkata kepada The Star yang gajinya masih sama dengan apa yang diperolehinya pada musim lalu dan gaji pemain-pemain lama juga kekal ditingkat yang sama.
“Untuk skuad utama, bajetnya kekal sama. Gaji saya juga tidak dinaikkan dan tiada penambahan bajet [musim ini]. Semua pemain yang dikekalkan juga tidak meminta untuk dinaikkan gaji kerana mereka memahami keadaan ekonomi sekarang,” tambahnya lagi.
Bercakap mengenai persediaan musim baharu, Satiananthan dilihat gembira dengan apa yang dimilikinya dan kemasukkan pemain seperti Brendan Gan dan Nicholas Swirad sangat membantu.

“Tiada alasan musim ini. Saya dapat pemain yang saya mahukan, pihak pengurusan juga beri apa yang saya minta. Saya mahu lebih lagi tetapi cukuplah dengan apa yang telah ada sekarang,” ujarnya.
“Saya suka sikap mereka [pemain baharu]. Pemain seperti Brendan [Gan] dan [Nicholas] Swirad sangat profesional. Ia memberi teladan kepada pemain-pemain muda. Ini yang kita cari, pemain-pemain berpengalaman yang boleh memberi teladan,” jelasnya lagi.
“JDT yang telah mengangkat standard seperti sekarang. Jika kita tidak dapat mengikutinya, kita perlu mencuba sehampir mungkin.
“Inilah yang membuatkan liga kita bertambah menarik. Jika hanya satu pasukan menguasai liga, ia tidak akan menarik,” tambahnya sambil menyatakan Gergasi Merah perlu menunjukkan hasilnya.

Ulasan