An article by Masharakat Bola gives a brief introduction to Southern Tigers fans on clubs that Johor Darul Ta'zim FC (JDT) will face in the AFC Champions League (ACL) 2020 season, which will be the club's second appearance.

FAKTA RINGKAS KELAB-KELAB YANG BAKAL DIHADAPI JDT DALAM KUMPULAN G LIGA JUARA-JUARA AFC (ACL)
Juara Liga Super Malaysia enam kali berturut-turut, Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) kini telah mula merencanakan aspirasi mencongak perjalanan terbaharu dalam penampilan kali kedua dalam kempen Liga Juara-Juara AFC (ACL) musim 2020.
Debaran mula dirasakan setelah JDT telah diundi bersaing didalam kumpulan G. JDT akan berdepan dengan kelab-kelab hebat dari Chinese Super League (CSL), K League 1 dan satu lagi slot belum rasmi yang akan dihuni oleh kelab dari Jepun yang menjuarai Piala Maharaja Jepun 2019 (The Emperor's Cup).
Aksi pembuka tirai dijangka akan diadakan sekitar 12 Febuari 2020 dan tanggal itu menjadi indikator awal perjuangan musim 2020 Harimau Selatan.
Sebelum itu, pada artikel ini, kami mengajak para pembaca mengenali secara ringkas tentang lawan yang bakal JDT hadapi kelak.
“GUANGZHOU EVERGRANDE TAOBAO FC”
Juara bertahan Chinese Super League (CSL) 2019 ini berpengkalan di Guangzhou, Guangdong China. Kelab yang juga dikenali sebagai “Harimau Selatan China” (Harimau buatan China?) ini dibimbing oleh legenda Itali yang pernah dinobatkan FIFA World Player of the year 2006 dan Ballon d’Or award 2006 iaitu Fabio Cannavaro.
Untuk makluman, kelab Guangzhou Evergrande FC pernah memonopoli takhta kejuaraan Chinese Super League (CSL) selama tujuh tahun berturut-turut bermula tahun 2011 hingga 2017. Terlepas kejuaraan pada tahun 2018 namun berjaya merampas kembali pada tahun berikutnya.
Tianhe Stadium merupakan gelanggang yang akan menjadi medan pertarungan Harimau Selatan kelak. Sebuah Stadium multifungsi yang berkapasiti lebih 50,000 tempat duduk. Kelab ini dibarisi pemain-pemain bintang dunia seperti Paulinho, Anderson Talisca, Park Ji-Soo dan pemain tempatan yang kerap mewakili pasukan negara mereka. Antaranya ketua pasukan kelab ini iaitu Zheng Zhi yang juga merupakan ketua pasukan bagi skuad “Team Dragon” Republik Rakyat China.
Gentar? JDT seharusnya tidak akan gentar walau setinggi mana reputasi dan sebanyak mana kejuaraan yang telah mereka kecapi.
“SUWON SAMSUNG BLUEWINGS FC”
Suwon Samsung Bluewings FC adalah kelab yang berpengkalan di Kota metropolitan Suwon. Kelab yang mewakili K League 1 Republik Korea ini layak setelah menjuarai FA Cup Republik Korea bagi musim 2019.
Pemain JDT akan berpeluang merasakan pengalaman baharu apabila berpeluang bertarung di gelanggang penuh bersejarah tuan rumah. Suwon World Cup Stadium merupakan gelanggang yang pernah dijadikan sebagai salah satu gelanggang rasmi dalam Piala Dunia 2002 dimana ketika itu, Republik Korea menjadi penganjur kejohanan berprestij tersebut. Stadium ini boleh memuatkan sekitar 40,000 orang dalam sesuatu masa.
Bluewings dibimbing oleh bekas pemain negara Republik Korea 1992-2002 Lee Lim-Saeng. Melihat kepada situasi semasa, rasionalnya JDT tidak mempunyai masalah untuk memberi saingan sengit kepada wakil dari Republik Korea ini.
Yakin? Keyakinan diri akan menjadi formula ampuh dalam melunaskan segala visi dan misi. Tiada yang mustahil dalam kamus perjuangan Harimau Selatan.
“PEMENANG PIALA MAHARAJA JEPUN 2019. VISSEL KOBE / SHIMZU S-PULSE / KASHIMA ANTLERS / V-VAREN NAGASAKI”
Slot terakhir dalam kumpulan G ini hanya akan diketahui setelah persaingan Piala Maharaja Jepun 2019 (The Emperor's Cup) tamat pada 1 Januari 2020. Ketika ini persaingan telah memasuki fasa separuh akhir. Melihat kepada keempat-empat calon ini, kesemua kelab mempunyai reputasi dan kekuatan yang seimbang kerana dibarisi pemain-pemain yang bertaraf bintang dan dunia.
Tidak perlu diperjelaskan lagi kekuatan Kashima Antlers kerana kita semua sudah lihat bagaimana kualiti pasukan ternama Asia ini. Namun jika ditanya pula kebanyakan netizen, pastinya mereka lebih tertarik dengan penampilan kelab Vissel Kobe bimbingan Thorsten Fink kerana kelab ini dibarisi oleh pemain-pemain ternama dunia seperti Sergi Samper Montaña, David Villa Sánchez, Andrés Iniesta dan Lukas Podolski.
Apa ada pada nama? Walaupun betapa sukar cabaran yang bakal dihadapi, atau sebesar mana bintang yang mereka miliki, pastinya tidak semudah itu mematikan semangat JDT.
Kesimpulannya di sebalik semua fakta-fakta yang dicatat, hanya keyakinan dan kesungguhan diri yang menjadi solusi untuk JDT berdiri sama tinggi dengan kelab-kelab dalam kumpulan G ini. Keyakinan serta kesungguhan diri paling maksima dan tertinggi juga harus sentiasa diaplikasi dalam diri para pemain juga barisan kejurulatihan lantas sikap terlalu hormat kepada lawan total dinyahaktif.
Akhir penulisan ini, walaupun sehebat mana cabaran yang bakal dilalui kem Harimau Selatan pada pertembungan peringkat kumpulan G, para penyokong Merah Biru serta seluruh rakyat Malaysia sudah pastinya akan mendoakan kegemilangan dan kejayaan JDT dalam perjalanan membawa nama Malaysia ke mata dunia.
Eh sebentar! Orang Malaysia sokong JDT ke?

Ulasan