Waspada trio serangan JDT


PERCUBAAN jarak jauh dan sepakan lencong pemain JDT bakal menjadi igauan mana-mana pasukan dan justeru, penjaga gol Kedah, Ifwat Akmal Chek Kassim mahu menggunakan kesempatan yang ada untuk memastikan tidak ada cubaan yang bakal melepasi kawalannya.
Menyedari dia terlepas lapan gol di separuh akhir menentang Pahang, penjaga gol berusia 23 tahun itu enggan insiden sama menghantuinya lagi malam esok dan bertekad meningkatkan keupayaan bagi berdepan Harimau Selatan di pentas final.
“Memang kami bolos agak banyak sebelum ini dan pada aksi final ini saya dan barisan pertahanan perlu mantapkan lagi kubu bagi mengekang serangan bahaya yang dilancarkan barisan serangan JDT terutamanya percubaan dari luar kotak penalti dan juga hantaran lintang.


“Kita perlu lebih berjaga-jaga dengan trio serangan JDT... Safawi Rasid, Diogo Santo dan Gonzalo Cabrera yang banyak mengucar-kacirkan pertahanan lawan dengan gerakan mereka yang serba pantas.
“Ini fokus utama saya untuk meningkatkan prestasi dari satu perlawanan ke satu perlawanan yang lain dan semestinya beraksi di perlawanan akhir kali ini yang juga final ketiga Piala Malaysia untuk saya, sudah tentu saya mahu lakukan yang terbaik,” katanya.
Sejak 2016, Ifwat bertanggungjawab menjadi benteng terakhir Kedah dan semestinya tahap persefahamannya dengan pemain lain semakin baik.
“Saya yakin sesiapa saja yang dipilih beraksi di final ini akan turun dengan semangat berpasukan dan ini faktor yang penting untuk kami berjaya dalam mana-mana perlawanan.
“Dari segi persefahaman dengan barisan pemain pertahanan, saya tidak ada masalah sebab sudah lama berlatih bersama dan saya berharap sesiapa pun yang akan dipilih menggantikan Renan Alves dan Rizal Ghazali pada final ini juga mampu beri aksi yang terbaik.” katanya.

Ulasan