Waktu perkhidmatan stesen LRT Bukit Jalil dilanjutkan sempena Piala Malaysia

Stesen lain akan menamatkan operasi seperti biasa, namun penumpang masih boleh keluar dari stesen berkenaan bagi meneruskan perjalanan.


Orang ramai disaran menggunakan kemudahan pengangkutan awam untuk ke stadium selain menggunakan kad Touch N' Go atau membeli token perjalanan pulang lebih awal. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Rapid KL akan melanjutkan waktu perkhidmatan sehingga pukul 1.00 pagi di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Bukit Jalil sempena perlawanan akhir Piala Malaysia 2019 di Stadium Bukit Jalil pada esok hari.

Dalam kenyataan hari ini, syarikat pengendali sistem rel transit bandar dan bas henti-henti itu berkata stesen lain akan menamatkan operasi seperti biasa, namun penumpang masih boleh keluar dari stesen berkenaan bagi meneruskan perjalanan.
Tiga laluan bas Rapid KL akan turut dilanjutkan perkhidmatan dengan bas terakhir berlepas pada 1.00 pagi.

Ia meliputi laluan 652 dari Stesen LRT Awan Besar ke Batu 3 Jalan Klang Lama; laluan T580 (dari Stesen LRT Awan Besar ke Technology Park Malaysia melalui Stesen LRT Bukit Jalil); dan laluan T582 (dari Stesen LRT Awan Besar ke LRT Salak Selatan melalui Bukit Jalil.

Orang ramai disaran menggunakan kemudahan pengangkutan awam untuk ke stadium selain menggunakan kad Touch N' Go atau membeli token perjalanan pulang lebih awal.

Ulasan