TMJ Rancang Bina Prasarana Perubatan, Hotel JDT & Padang Latihan Baru Bakal Menyusul


Kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) mempunyai beberapa perancangan besar bermula musim hadapan dengan projek pembangunan akar umbi dan fasiliti kelab menjadi keutamaan.
Perkara itu dijelaskan sendiri oleh pemilik kelab tersebut, DYAM Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor (TMJ) melalui perkongsian yang disiarkan secara siaran langsung di platform media sosial kelab tersebut pada malam tadi.
Turut tampil dalam siaran langsung tersebut adalah Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards, dan beberapa pegawai kelab yang lain.
Selain daripada fasiliti Pusat Latihan di Padang Seri Gelam dan Padang Mawar, JDT juga merupakan kelab pertama yang bakal memiliki stadium sendiri.
Stadium Sultan Ibrahim yang kini dalam proses akhir pembinaan dijangka akan disiapkan sepenuhnya menjelang musim baharu Liga Malaysia 2020.
Selain daripada Stadium Sultan Ibrahim yang berkapasiti 40,000 penonton, musim ini turut menyaksikan JDT mencipta sejarah apabila menjadi kelab bola sepak pertama di negara ini yang memiliki bangunan ibu pejabat sendiri.
Menurut penjelasan Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards sebelum ini apa yang dilakukan oleh JDT pada hari ini hanyalah 40% daripada perancangan.

Sekurang-kurangnya tiga lagi infrastruktur baharu berada di dalam perancangan kelab tersebut untuk dibina pada masa hadapan.
Antaranya adalah Pusat Perubatan dengan bangunan sendiri, Hotel JDT, dan juga pusat latihan yang baharu. Buat masa ini segala kepakaran perubatan milik kelab berada di padang latihan sedia ada di Seri Gelam.
“JDT ada tiga lagi projek yang masih belum dilaksanakan. Secara asasnya, tiga projek tersebut adalah pusat perubatan atau recovery center, kedua ialah JDT Hotel,” ujar baginda dalan sesi siaran langsung itu.
“Kemudian yang ketiga adalah pusat latihan. Pusat latihan yang baru dan besar bagi semua pasukan JDT dalam satu kawasan.
“Jadi ini adalah 3 projek yang masih belum dilaksanakan, tidak akan disiapkan dalam masa terdekat kerana tahun depan kita akan [siapkan pembinaan] stadium dulu dan pusat perubatan, saya harap selepas itu pusat latihan dan juga hotel.”

Ulasan