TMJ, JDT Serah Semula Insentif Kemenangan, Bantu Kerajaan Negeri Fokus Pembersihan Sungai


Kejayaan Johor Darul Ta’zim (JDT) menjuarai saingan Piala Malaysia buat kali kedua pada 2 November lalu membolehkan skuad Harimau Selatan itu menerima insentif bernilai RM500,000 daripada Kerajaan Negeri Johor yang dipimpin Menteri Besar, YAB Dato’ Dr. Sahruddin Jamal.
Lebih menarik untuk diperkatakan mengenai dengan pemberian tersebut apabila DYAM Tunku Mahkota Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Pemangku Raja memilih untuk mengurniakan kembali insentif tersebut kepada kerajaan Negeri Johor.
Hal ini kerana Tunku Mahkota Ismail mahukan insentif tersebut digunakan sebaiknya oleh pihak kerajaan negeri dalam menampung kos pembelian bot pengutip sampah di sungai-sungai seluruh Johor.
Menurut kenyataan dikeluarkan di JOHOR Southern Tigers, selain daripada bertujuan untuk tujuan pembersihan sungai, sumbangan itu juga sebagai usaha dalam melestarikan alam sekitar dan mengatasi masalah pencemaran yang berlaku.
Ternyata ia merupakan ‘class act’ daripada seluruh warga JDT yang diketuai Tunku Mahkota Ismail kerana tidak melupakan tanggungjawab terhadap pembangunan negeri.
JDT muncul juara Piala Malaysia 2019 selepas membenam cabaran Kedah 3-0 pada aksi final yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil hasil jaringan disumbangkan Leandro Velasquez, Safawi Rasid dan Syafiq Ahmad.

Ulasan