TIADA istilah skuad istimewa atau pilihan untuk menang pada final Piala Malaysia apabila kedua-dua pasukan mempunyai peluang dan harapan sama rata untuk menjulang kejuaraan walaupun umum melihat kelebihan lebih memihak Johor Darul Ta’zim (JDT).
Ketua jurulatih JDT Benjamin Mora berkata, setiap pasukan mempunyai misi penting untuk memastikan kejuaraan milik mereka termasuk skuad Harimau Selatan yang mahu menjulang Piala Malaysia kali kedua.
Beliau berkata, istilah istimewa atau pasukan pilihan tidak membawa erti jika gagal mengharungi perlawanan dengan baik seterusnya kempunan membawa pulang piala.
“Saya fikir kedua-dua pasukan mahu menamatkan perlawanan dalam tempoh 90 minit. Saya tidak fikir kami mahu bermain hingga 120 minit atau ke penentuan sepakan penalti.
“Kedua-dua pasukan mahu bermain pada tahap terbaik dan tempoh 90 minit itu satu tempoh bagus buat pasukan bagi mengelakkan masalah keletihan pemain.
“Apa pun kami tidak tahu apa yang akan berlaku tapi sudah pasti JDT akan bermain seperti biasa dan memberikan persembahan terbaik pada aksi final Piala Malaysia 2019,” katanya pada sidang media final Piala Malaysia di Kuala Lumpur, semalam.
Dalam perkembangan sama, Mora turut percaya pasukan yang kurang melakukan kesilapan dan memanfaatkan setiap peluang akan menjadi faktor utama untuk menjuarai Piala Malaysia musim ini.
“Mana-mana pasukan yang mengurangkan kesilapan dan bermain dengan baik seperti yang dirancang, mereka akan menjadi juara.
“Itulah yang saya harapkan dan saya percaya kami mampu melakukan sesuatu kerana JDT sentiasa memiliki visi untuk melakar kejayaan,” katanya.
Ulasan
Catat Ulasan