TERIMA KASIH JDT, TERIMA KASIH DYAM TUNKU MAHKOTA JOHOR UNTUK MUSIM YANG INDAH INI


Aku sentiasa mengharapkan kejayaan demi kejayaan dicipta kelab bola sepak kebanggaan aku ini. Alhamdulillah ianya terjadi dan aku bersyukur dengan apa yang dikurniakan.
Sebagai penyokong JDT aku ingin mengucapkan terima kasih kepada pasukan kerana sekali lagi membuktikan JDT adalah kuasa bola sepak di Malaysia. Kejayaan meraih kejuaraan Liga Super buat kali keenam berturut-turut bukanlah sesuatu yang mudah dilakukan.
Menjunjung kasih juga kepada DYAM Tunku Mahkota Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Pemangku Raja yang tidak henti-henti memajukan JDT baik di dalam mahupun di luar padang. Kerjasama dengan Juventus, perlawanan All-Stars adalah antara bukti kerja keras Tunku dalam membawa nama JDT dalam bola sepak dunia.
Menjelang final Piala Malaysia ini, aku hadapinya tanpa tekanan kerana bagi aku jika menang ianya satu lagi bonus tetapi jika keputusan sebaliknya, aku yakin ianya bukanlah pengakhiran dunia buat JDT.
Ye jika kalah, haters pasti akan melalak bagai tiada esok tetapi sebagai penyokong JDT aku harus kental dalam menghadapi provokasi mereka.
Bagi aku tahun 2019 adalah tahun yang cemerlang buat JDT. Membuka musim dengan mempertahankan Piala Sumbangsih dan berjaya juga bergelar juara liga sekali lagi sudah cukup memuaskan hati aku sebagai penyokong.
Kejayaan terbesar JDT untuk 2019 adalah penglibatan kelab di peringkat kumpulan Liga Juara-Juara AFC dimana JDT berjaya membuka mata Asia dengan persembahan yang cukup meyakinkan.
Tersungkurnya Kashima Antlers, juara bertahan ACL di Larkin akan dikenang semua yang terlibat dengan JDT. Satu sejarah yang bukan biasa-biasa dan kejayaan menutup mulut pengkritik adalah satu kepuasan yang tidak terhingga.
JDT bukan popular di kalangan media terutama media sosial namun semuanya berjaya dijawab menerusi persembahan di atas padang hingga menimbulkan lebih iri hati dikalangan mereka.
Buat pasukan JDT dan TMJ, selamat maju jaya diucapkan untuk final Piala Malaysia dan terima kasih kerana telah memberikan musim yang indah buat para penyokong. Sebagai balasan aku sudah memperbaharui pas bermusim dan akan sama-sama menyokong JDT di Bukit Jalil.
Luaskan Kuasamu Johor.

Ulasan