Sesuatu Yang Besar Menanti Penyokong Kedah Pada Musim Hadapan?


Tamatnya saingan Piala Malaysia 2019, bermakna saingan Liga Malaysia pada musim ini telah melabuhkan tirainya. Tiga trofi domestik utama dipertandingkan. JDT membolot dua trofi apabila muncul juara Liga Super dan Piala Malaysia tempoh hari.
Manakala Kedah yang turut berpeluang merangkul kejuaraan berganda pada musim ini, akhirnya terpaksa berpuas hati dengan kejayaan Piala FA pada musim ini – selepas tewas 3-0 di perlawanan akhir Piala Malaysia kepada JDT pada Sabtu lalu.

Prestasi keseluruhan

Secara keseluruhan prestasi Kedah pada musim ini dianggap memberangsangkan. Harus diingat, ini adalah musim pertama skuad Lang Merah di bawah kendalian pengendali dari Singapura, Aidil Shahrin.
Musim 2019 menyaksikan skuad Lang Merah ini melakukan perubahan besar ke atas pasukan mereka terutamanya dengan kehadiran lima pemain import baharu iaitu Renan Da Silva Alves (Brazil), Muhammad Shakir Hamzah (Singapura), Anmar Fares Almubaraki (Iraq), Fernandon Rodriguez Ortega (Sepanyol) dan Jonatan Bauman (Argentina).
Beberapa pemain tempatan juga ditandatangani oleh Kedah FA seperti N. Thanabalan (Negeri Sembilan), Azmeer Yusof, Zaquan Adha (Kuala Lumpur), Syahrul Azwari Ibrahim (Melaka United), Shahrul Igwan Samsudin, Azamuddin Akil (Selangor), Mohd Alif (Felda United) dan seorang pemain yang dinaikkan pangkat daripada skuad Piala Presiden Kedah, Mohd Hidhir.
Pada pertengahan musim, Edgar Bernhadt pula dipanggil untuk menggantikan Anmar Almubaraki akibat kecederaan, dan Kedah turut diperkuatkan oleh pemain berdarah kacukan, David Rowley di jentera tengah.


Hasilnya, Aidil Sharin berjaya membantu Kedah menduduki tangga ke-4 Liga Super dan naib juara Piala Malaysia, selain daripada kejayaan merangkul Piala FA.
Aidil Sharin menegaskan beliau akan memperkenalkan falsafah bola sepaknya yang lebih direct, sekaligus meninggalkan era Kedah bermain hantaran pendek (Foto: Kedah FA)
Harus diingat, skuad Kedah pada musim ini adalah skuad yang sedang di bawah transisi walaupun mengekalkan hampir keseluruhan pemain dari musim sebelumnya yang dianggap suram.
Sebagai perbandingan Kedah pada musim 2018, menduduki tangga ke-6 Liga Super – selepas beberapa kali bertukar Ketua Jurulatih – selain tersingkir seawal pusingan ketika di pertandingan Piala FA, dan menduduki tangga tercorot Kumpulan C di saingan Piala Malaysia.

Asian Champions League

Kejayaan bergelar juara Piala FA pada musim ini bermakna Kedah layak ke pusingan kelayakan Liga Juara-Juara Asia (ACL) pada musim 2020.
Ini adalah kali pertama gergasi dari utara bola sepak tanah air ini beraksi di pentas tertinggi Asia. Impian Kedah pastinya ialah untuk layak ke peringkat kumpulan pertandingan.
Jika pengalaman diambil kira, ia mungkin sedikit sukar mengambil kira kegagalan Perak pada musim lalu. Maka ia bergantung kepada bagaimana pengurusan Kedah merancang skuad Lang Merah bagi saingan musim 2020.

FOTO: Kedah FA
Perkara ini tidak mudah memandangkan Kedah akan beraksi di empat pertandingan berbanding tiga pertandingan sebelumnya.
Bagaimana pasukan boleh menyesuaikan diri dengan jadual perlawanan yang ketat sepertimana yang dilalui oleh JDT sejak beberapa musim adalah satu cabaran yang perlu diambil kira – dan tanpa rungutan!
Hakikatnya, itulah harganya yang harus dibayar sekiranya Kedah mahu melangkah setakuk lagi ke hadapan. Sasarannya ialah untuk memberi cabaran secara kompetitif di saingan domestik secara berterusan, dan pada masa yang sama membuktikan diri selayaknya berada di pentas Asia.

Perancangan Kedah

Mengambil kira apa yang bakal dihadapai oleh pasukan Kedah pada musim hadapan, maka tidak hairanlah pihak pengurusan pasukan mulai melakukan perancangan sebaik sahaja saingan Liga Malaysia melabuhkan tirainya pada Sabtu lalu.
Ahad lalu, KFA segera mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif bagi merangka struktur pasukan pada musim 2020, termasuk pengukuhan kewangan dan misi layak ke ACL 2020.
Perkara ini perlu dilakukan segera kerana Kedah akan tampil di pusingan kelayakan pertandingan tersebut pada 21 Januari hadapan.
Mesyuarat tersebut dikatakan berlangsung selama 4 jam. Lebih menarik di akhir kenyataan tersebut, media Kedah berkata akan lebih banyak berita positif dan menarik menunggu penyokong-penyokong Kedah.

Apa yang kita tahu setakat ini?

Sehingga artikel ini ditulis, Kedah sah sudah melepaskan penyerang import dari Sepanyol, Fernando Rodriguez yang tidak lagi bersama skuad Lang Merah pada musim hadapan. Sehingga kini, belum dapat dipastikan nasib empat pemain import yang lain.
Pelbagai khabar angin juga mulai bertiup ke arah pasukan dari utara tanah air itu sejak beberapa bulan yang lalu. Antaranya ialah Kedah akan membawa masuk N’golo Kante daripada Chelsea.

Khabar angin tersebut mulai bertiup selepas Setiausaha Kehormat Persatuan Bolasepak Kedah, KFA Mohd Asmirul Anuar Aris bertemu pemain berumur 28 tahun itu di restoran Tuk Din Bayswater London.
Bukan menafikan kemampuan Kedah, tetapi bagi kami khabar angin tersebut terlalu jauh untuk memiliki kredibiliti.


Pemergian Rodriguez sebaliknya bermakna Kedah berkemungkinan akan membawa masuk pemain import penyerang yang baharu. Perkongsian dari rakan media, Vocket FC mengenai Kpah Sherman dan Tcheche Kipre bakal ke Kedah juga ada asasnya – selepas kedua-dua pasukan sudah tidak lagi terikat dengan pasukan masing-masing.
Jika benar khabar angin ini, ia juga bermakna Kedah turut harus melepaskan pemain import dari Argentina Jonathan Bauman atau pun Edgar Bernhadt – bergantung kepada kandungan kontrak kedua-dua pemain.

Rumusan

Kami yakin akan lebih banyak khabar angin mengenai pemain-pemain yang akan menyertai Kedah sepanjang November dan Disember akan datang.
Antaranya pemain yang dikhabarkan turut bakal menyertai skuad Lang Merah ialah Faiz Nasir dari Selangor. Namun belum ada sebarang pengesahan dari mana-mana pihak setakat ini, dan ianya sekadar cakap-cakap yang penulis dengar di kedai kopi tempoh hari.
Namun dalam keterujaan Kedah beraksi di saingan ACL pada musim hadapan, dan tampil lebih kompetitif di Liga Malaysia, pastikan skuad ini juga dibina berasaskan ‘ubi-ubi muda’.
Mohammad Fayadh Bin Mohd Zulkifli Amin dan Mohd Fadzrul Danel Bin Mohd Nizam adalah antara dua pemain mudah yang menyerlah pada musim ini. Jangan sampai salahkan pihak lain jika ada ubi mencari tempat yang lebih subur kerana gagal mendapat peluang. Sebaliknya, lahirkan lebih ramai ubi demi bola sepak Kedah dan pasukan negara.
Tidak menghairankan mengapa penyokong Kedah teruja dengan setiap khabar angin. Sesuatu yang lebih besar untuk penyokong Kedah pada musim hadapan jika betul caranya!

Nota editor: Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian Semuanya BOLA sebagai sebuah organisasi.

Ulasan