Semuanya kerana JDT...


BUKAN saja mengecat rumah berwarna merah biru bagi membuktikan sokongan kepada Johor Darul Ta’zim (JDT), seorang penternak kambing sanggup mencipta papan tanda jalan JDT bagi memudahkan pelancong mencari jeti nelayan berhampiran rumahnya di Kampung Tekam, Segamat.
Ajib Abd Rahman, 31, berkata, dia meminati JDT sejak di bangku sekolah dan akan menyokong pasukan itu tidak kira menang atau kalah.
Dia mengecat keseluruhan rumahnya berwarna merah biru tiga tahun lalu dengan kos sebanyak RM600 menggantikan warna coklat sebelum ini.
“Sepatutnya kos mengecat lebih tinggi, mujurlah rakan banyak membantu selama tiga hari untuk mengecat rumah saya dan ia sedikit sebanyak membolehkan saya berjimat.


“Selain itu, saya meletak papan tanda jalan berlogokan JDT di sekitar kampung ini bagi memudahkan pelancong menuju jeti nelayan darat untuk mencari ikan segar.

PAPAN tanda berlogokan pasukan JDT sebagai penunjuk arah jalan menuju kediaman Ajib di Kampung Tekam. — FOTO Ahmad Ismail
“Kali terakhir saya ke Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin pada 19 Oktober lalu untuk menyaksikan JDT menewaskan Selangor 2-1 pada separuh akhir pertama Piala Malaysia,” katanya ketika ditemui di rumahnya, hari ini.
Menurutnya, setiap kali ke stadium bersama rakan mereka akan membawa pelbagai makanan tradisional seperti ubi rebus sambal tumis dan lempeng pisang.
“Kami akan menabung beberapa minggu sebelum perlawanan JDT dan memberikan sokongan ke seluruh negara sekiranya tidak sibuk dengan tugas masing-masing.
“Alhamdulillah, untuk perlawanan akhir Piala Malaysia malam esok, saya bersama empat rakan berjaya membeli tiket dan akan ke Stadium Nasional, Bukit Jalil untuk memberikan sokongan.
“Kami yakin berdasarkan persembahan semasa, JDT mampu muncul juara dengan menewaskan Kedah 2-0,” katanya.

Ulasan