SEMANGAT MERAH BIRU MEWARNAI DUNIA

SEMANGAT MERAH BIRU MEWARNAI DUNIA
Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) benar-benar istimewa. Campuran keikhlasan, kasih, sayang dan cinta kepada sebuah negeri, maka terwujudlah sebuah kelab yang ulung tiada tandingan di Malaysia dewasa kini.
DYAM Tunku Mahkota Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Pemangku Raja berjaya membina empayar Harimau Selatan dalam masa yang amat singkat. Segala inspirasi dan aspirasi yang direncana, kini berjaya direalisasi. Bukan sekadar cakap kosong, bermula 2014 semua tanda aras telah berjaya DYAM Tunku Mahkota Ismail capai. Setelah itu, kejayaan demi kejayaan menjadikan JDT dicemburui oleh kebanyakan rakyat Malaysia sehingga ada yang terlalu fobia apabila terlihat logo JDT dan nama baginda di depan mata.
Namun, dalam situasi dimana JDT dibenci oleh kebanyakan rakyat di serata tanah air, kejayaan JDT dikagumi oleh orang-orang luar yang mengikuti perkembangan Harimau Selatan. Salah seorangnya adalah En. Yasuo Fujita dan Mrs. Maki Fujita.
PENYOKONG JDT ADA DIMANA-MANA
Yasuo Fujita. Yasuo Fujita berasal daripada Osaka, Japan. Sebuah negara kuasa bola sepak Asia yang memiliki liga kompetitif serta mempunyai ramai bintang beraksi di kelab hebat dunia.
Yasuo menyokong kelab di Division 4 Nara Club dan mula mengikuti Harimau Selatan sejak menyaksikan perlawanan kelayakan Liga Juara-Juara AFC (ACL) 2018 antara Gamba Osaka dan JDT di Stadium Suita City, Jepun.
Walaupun perbezaan bola sepak Malaysia dan Jepun seperti langit dan bumi, beliau tidak malu menyokong kelab kerdil Malaysia ini. Setiap perlawanan membabitkan Harimau Selatan, beliau akan mengikuti dengan penuh minat walaupun berada jauh beribu-ribu batu dari tanah Jauhar.
MERAH BIRU DIHATI
Mengagumi DYAM Tunku Mahkota Ismail kerana pada beliau baginda adalah seorang genius dalam mencorak landskap bolasepak Johor dan percaya satu hari nanti JDT akan berada sebaris dengan kelab-kelab hebat di dunia selagi DYAM Tunku Mahkota Ismail ada dalam organisasi Harimau Selatan.
“Luaskan Kuasamu Johor!” Slogan yang sering dilaungkan dengan loghat Jepun yang pekat.
Kali pertama beliau menjejakkan kaki ke Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos, Larkin adalah pada sekitar tahun 2017 dimana JDT telah menjulang kejuaraan Liga Super Malaysia buat kali keempat. Manakala pada tahun ini, beliau bersama isteri berkesempatan terbang ke Stadium Changwon Football Center untuk menyaksikan JDT menentang Gyeongnam FC pada 22 Mei 2019.
Kini setelah satu tahun masa berlalu, ingatan Yasuo dan isteri terhadap JDT tidak pernah pudar. Semangat Bangsa Johor seakan hidup dalam hati beliau. Yasuo Fujita dan Maki Fujita akhirnya kembali ke sini semula.
Mereka datang berkunjung ke Johor Japan Football Gallery, malah mereka juga mendaftar untuk Pas Bermusim JDT buat kali pertama. Apabila ditanya mengapa beliau bertindak sedemikian, beliau menyatakan bahawa ini adalah sumbangan beliau demi kelab yang beliau kagumi ini.
Akhir kata, jika orang luar seperti En Yasuo Fujita dan isteri tanpa ragu-ragu untuk membeli pas bermusim malah sedar bahawa ini dapat membantu dalam percambahan kelab kebanggaan kita ini, mengapa tidak kita? Jangan berlengah lagi, inilah masanya, ayuh keluargaku!
Sumber artikel: Media JST

Ulasan