Segalanya lengkap...



Johor Darul Ta’zim (JDT) boleh diibaratkan sebagai Barcelona, Manchester City dan Paris Saint-Germain versi Malaysia yang mempunyai sumber dana besar, sekali gus mampu melakukan apa saja dalam memastikan kejuaraan menjadi milik mereka.
Situasi itu boleh dilihat dalam tempoh enam tahun penubuhan JDT menyaksikan pelbagai kejayaan berjaya dirangkul dengan terbaharu menjulang Piala Malaysia buat kali kedua.
Ada wang segalanya boleh jadi dan ia terbukti JDT terus kekal berkuasa apabila mempunyai fasiliti yang cukup lengkap selain gaji pemain paling sedikit pun mencecah puluhan ribu ringgit, sekali gus meniup semangat mereka untuk beraksi lebih baik pada setiap perlawanan.


Perkara itu diakui legenda bola sepak kebangsaan Datuk Jamal Nasir Ismail yang melihat faktor kewangan memainkan peranan penting dalam memastikan kejayaan pasukan.
Beliau berkata, pada masa ini wang boleh diibaratkan segala-galanya dalam membentuk pasukan mantap seterusnya membantu meraih pelbagai kejayaan.
“Saya sudah tekankan perkara ini sejak dulu lagi apabila JDT membuat pelaburan yang besar sudah tentu akan memastikan yang terbaik saja yang mereka peroleh untuk pasukan.
“Sekarang ini bukan seperti zaman saya pada era semi profesional dengan ada antara pemain mempunyai pekerjaan lain untuk menampung kehidupan seterusnya tidak memerlukan wang yang banyak bagi membina pasukan.
“Jadinya, kena terima kenyataan jika tidak mempunyai sumber dana yang kukuh jadilah pasukan ‘ayam’ saja atau tidak mampu bersaing dengan yang lain,” katanya, ketika dihubungi Arena Metro, semalam.
Sementara itu, bekas pemain skuad kebangsaan, Khalid Ali turut bersependapat tiga perkara iaitu sumber kewangan kukuh, minat dan keikhlasan membantu skuad Harimau Selatan sukar digugat oleh pasukan lain.
“Jika boleh main tapi tiada sumber kewangan kukuh pun tidak guna kerana akhirnya akan timbul masalah lain seperti tunggakan gaji dan kekurangan fasiliti.
“JDT boleh dijadikan contoh apabila ada duit dan ikhlas membangunkan bola sepak membantu meningkatkan mutu pasukan ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

Ulasan